[VIDEO] Pengantin naik kereta klasik sambil diarak 20 basikal tua

Iklan
Pengantin menaiki kereta Mini Mike sambil diarak 20 basikal klasik sejauh 500 meter dari Taman Sri Rembau ke Dewan Sri Rembau pada Sabtu.

REMBAU - Sepasang pengantin cipta kenangan pada hari bahagia mereka dengan menaiki kereta klasik sambil diarak 20 basikal tua sejauh 500 meter dari Taman Sri Rembau ke Dewan Sri Rembau pada Sabtu.

Nurul Syahirah Ruslan, 32, dan Muhamad Khairil Roslan, 22, yang memakai pakaian pengantin berwarna ungu sebelum itu selamat diijabkabulkan di Masjid Jamek An-nur di sini pada Jumaat.

Iklan
Iklan

Menurut bapa pengantin perempuan, Ruslan Rusli, 60, idea mengadakan majlis resepsi perkahwinan anak ketiganya itu dengan cara begitu timbul sejak empat tahun lalu.

"Biasanya pengantin disambut dengan paluan kompang, tapi saya terfikir untuk cipta kelainan pada majlis perkahwinan anak saya sebagai kenangan kerana dua anak sebelum ini tidak berpeluang buat begitu.

Iklan

"Memandangkan saya ada rakan yang aktif dalam Kelab Basikal Tua, saya mempelawanya untuk datang membawa 'rombongan' basikal tua berarak dengan pengantin yang menaiki kereta klasik model Mini Mike," katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Menurutnya, kereta klasik itu disewa daripada seorang kenalan di kawasan perumahannya.

Iklan

Kata Ruslan, sememangnya meminati barangan klasik termasuk basikal tua yang disifatkan mempunyai nilai sentimental.

"Tapi saya tiada apa-apa koleksi barangan klasik kerana ia perlukan penjagaan rapi," katanya.

Sementara itu, pemilik basikal yang juga Pengerusi Peminat Basikal Tua Rembau, Abd Latip Alias, 63, berkata, mereka yang turut serta berarak dengan pengantin bukan saja dari Negeri Sembilan, tapi juga Kuala Lumpur.

"Saya mempunyai 20 basikal klasik pelbagai model yang dikumpul sejak lapan tahun lalu. Pada mulanya, kami merancang untuk berarak empat basikal sahaja, namun selepas diuar-uarkan di dalam kumpulan WhatsApp, ramai yang mahu menyertainya.

"Saya sendiri berbesar hati untuk menunaikan hasrat bapa pengantin dan dalam masa sama mempromosikan basikal klasik ini kerana mempunyai nilai sentimental," katanya.