Durian punca Balik Pulau jadi tumpuan

Iklan
Pesta Durian Balik Pulau yang berlangsung hingga Ahad.

GEORGETOWN - Kawasan Balik Pulau yang terletak di daerah Barat Daya, Pulau Pinang menjadi tumpuan ramai termasuk pelancong dari dalam dan luar negara dek kerana musim durian yang dinantikan setiap tahun.

Dengan pelbagai citarasa dan variasi, durian Balik Pulau mempunyai keunikan tersendiri selain rasa yang berbeza berbanding durian di tempat lain.

Iklan
Iklan

Sebut sahaja nama dan jenis durian terkemuka yang menjadi kegemaran ramai seperti horlor, musang king, ochee, udang merah, kucing tidur dan banyak lagi semuanya boleh didapati Balik Pulau.

Disebabkan itu tidak hairanlah suasana Balik Pulau ketika ini sangat meriah dengan puluhan gerai yang dibuka di tepi jalan serta lokasi khas untuk jualan durian.

Iklan

Paling menarik ketika musim ini orang ramai boleh menikmati keenakan raja buah itu dalam kawasan dusun termasuk menjamah durian segar yang baharu luruh dari pokok.

Kesesakan berlaku namun masih terkawal selepas beberapa lencongan dibuat bagi memastikan aliran trafik lancar di sekitar Balik Pulau.

Tinjauan Sinar Harian di sekitar Balik Pulau pada Sabtu menyaksikan pertambahan kenderaan keluar masuk ke kawasan Balik Pulau selain berlaku sedikit kesesakan di beberapa kawasan namun terkawal.

Iklan

Selain itu, penganjuran Pesta Durian Balik Pulau yang berlangsung sejak Jumaat lalu di Dataran Masjid Daerah Barat Daya menjadikan kawasan Balik Pulau antara destinasi pilihan ramai tambahan ketika ini masih lagi dalam musim cuti persekolahan.

Ahmad Idris Abdul Mutalib, 33, berkata, dia bersama keluarga datang dari Kuala Lumpur ke negeri ini sejak Jumaat lalu atas urusan kerja dan mengambil peluang singgah ke Balik Pulau bagi merasai sendiri keenakan buah durian di sini.

Ahmad Idris

Dia yang pertama kali mencuba durian Balik Pulau mengakui aroma dan citarasa buah itu berbeza berbanding di tempat lain.

"Saya memang peminat durian terutamanya jenis kampung dan tidak keterlaluan saya katakan durian di sini mempunyai kelas tersendiri dengan rasanya yang enak dan wangi.

"Patut la ramai yang sanggup datang dari jauh semata-mata mahu menikmati sendiri durian Balik Pulau. Harga ditawarkan peniaga juga berbaloi," katanya.

Turut tidak melepaskan peluang merasai durian Balik Pulau, Ahmad Azrizal Mohd Ariffin, 43, bersama 10 ahli keluarganya yang datang dari Ipoh dan tiba di negeri ini pada pagi Sabtu.

"Kami ke Pulau Pinang hari ini (Sabtu) sebenarnya untuk menghantar pulang anak ke asrama namun ketika dalam perjalanan perasan banyak gegantung dan kain rentang mempromosikan Pesta Durian Balik Pulau.

"Sebelum hantar anak ke asrama kami singgah di sini dulu untuk nikmati durian Balik Pulau yang terkenal dan menjadi ikon Pulau Pinang," katanya.

Bagi S Sumithra, 56, dari Johor Bahru pula, percutiannya ke beberapa negeri di kawasan utara sejak minggu lalu berakhir dengan pengalaman bermakna apabila berkesempatan singgah ke lokasi wajib setiap kali berkunjung ke Pulau Pinang.

Sumithra

Katanya, setiap kali musim durian pastinya dia akan singgah di Balik Pulau untuk menikmati durian selain membawa buah tangan istimewa itu kepada rakan serta ahli keluarga di Johor Bahru.

"Sedap dan tiada tandingan rasa durian di sini sebab itu saya teruja kerana dapat datang semula ke Balik Pulau selepas dua tahun tidak berpeluang melancong di Pulau Pinang akibat pandemik Covid-19," katanya.

Sementara itu, Rafiyan Che Ramlan, 32, dari Klang pula menyatakan perjalanan ke negeri ini bersama isteri serta tiga anaknya berbaloi selepas berpeluang singgah ke Pesta Durian Balik Pulau pada Sabtu.

"Sebelum ni saya hanya dengar cakap-cakap dan lihat di laman sosial sahaja cerita mengenai istimewa durian Balik Pulau.

"Bila rasa sendiri baru lah saya tau nikmat rasa Durian Balik Pulau yang jadi sebutan ramai," katanya.

Pesta Durian Balik Pulau yang berlangsung hingga Ahad bukan sekadar jualan buah-buah semata-mata malah pelbagai aktiviti menarik disediakan antaranya pertandingan buah durian klon terbaik 2022, Buah Durian Kampung Premium dan pertandingan masakan berasaskan durian.

Selain itu turut terdapat gerai pameran pelbagai agensi kerajaan dan aktiviti lain seperti senamrobik, pertandingan mewarna bagi kanak-kanak serta banyak lagi.