TMESA sumbang RM2.4 juta kepada pelajar miskin

Iklan
Muhammad Nasir (duduk lima dari kanan) bersama jemputan Majlis Silaturahim TMESA 2022 pada Sabtu

SHAH ALAM - Persatuan Bekas Pelajar Sekolah Tengku Mahmud, Besut, Terengganu (TMESA) telah menyalurkan sumbangan sebanyak RM2.4 juta kepada pelajar yang tidak berkemampuan di sekolah tersebut.

Presidennya, Datuk Muhammad Nasir Hamzah berkata, sumbangan itu disalurkan melalui satu program dinamakan Sponsor A Student (SAS) yang telah dimulakan sejak 17 tahun lalu.

Iklan
Iklan

Jelas beliau, setiap pelajar yang tidak berkemampuan dari sekolah tersebut sama ada menengah mahupun rendah akan menerima bantuan sebanyak RM1,500 daripada persatuan alumni itu.

"Ia akan diberikan kepada pelajar yang betul-betul tidak berkemampuan sahaja. Kita akan temu bual dan tengok sendiri masalah yang dihadapi pelajar dan keluarga ini.

Iklan

"Kita telah buat program ini selama 17 tahun. Setakat ini, kita sudah keluarkan lebih RM2.4 juta kepada mereka. Semua merupakan hasil sumbangan alumni,” katanya kepada Sinar Harian semasa Majlis Silaturahim TMESA 2022 yang diadakan di Karangkraf pada Sabtu.

Muhammad Nasir (lapan dari kiri) bersama ahli TMESA pada Majlis Silaturahim TMESA 2022 yang diadakan di Karangkraf pada Sabtu. Gambar kecil: Nathrah

Sementara itu, Pengetua Cemerlang Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Mahmud, Nathrah Awang Teh berkata, dengan menjalinkan hubungan erat bersama persatuan alumni, sekolah tersebut tidak perlu bergantung sepenuhnya kepada kerajaan lagi.

Iklan

"Hasil hubungan yang baik, sekolah saya dapat sumbangan 23 buah komputer untuk makmal komputer daripada alumni selain memberikan sebanyak RM4,800 untuk mengadakan kem kepada pelajar. Terbaru TMESA memberikan kerusi untuk guru sebanyak 100 buah.

"Bila ada hubungan yang baik, saya dapati sekolah tidak perlu terlalu bergantung kepada kerajaan. Kita ada 10,000 buah sekolah. Macam mana mereka nak pastikan prasarana ini semua lengkap? Jadi, dengan TMESA, semua selesai.

"Di Besut, saya rasa sekolah saya paling bagus dari segi membina hubungan yang baik dengan alumni,” ujarnya.