KUCHING - Semua jawatan tertinggi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) tidak dipertandingkan dalam pemilihan parti itu pada perhimpunan agung parti itu yang akan diadakan selama tiga hari di sini bermula 17 Jun ini.
Pegawai pemilihan PBB Datuk Awang Bemee Awang Ali Basah berkata, sehingga pencalonan ditutup semalam, Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg menjadi calon tunggal yang dinamakan oleh kesemua 82 cawangan parti itu untuk menjadi presiden bagi penggal 2022-2025.
Beliau berkata, kesemua cawangan juga sebulat suara mengekalkan dua Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan sebagai Timbalan Presiden parti itu.
"Bagi (dua) jawatan Naib Yang Dipertua Kanan (naib presiden kanan) dicalonkan oleh kesemua cawangan adalah Datuk Seri Fadillah Yusof dan Datuk Seri Dr Stephen Rundi Utom,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat PBB di sini, pada Sabtu.
Menurutnya Dr Rundi yang sebelum ini merupakan Naib Presiden PBB menggantikan Datuk Amar Michael Manyin Jawong yang telah mengambil keputusan untuk mengundurkan diri.
Jawatan Naib Presiden yang tidak akan dipertandingkan akan disandang oleh Datuk Gerald Rentap Jabu, Datuk Julaihi Narawi, Dr Annuar Rapaee, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah, Datuk Roland Sagah Wee Inn, Datuk Dr. Abdul Rahman Junaidi, Datuk Gerawat Gala, Datuk Seri Fatimah Abdullah dan Miro Simuh.
Awang Bemee berkata 14 jawatan dalam sayap Pesaka parti itu juga tidak akan dipertandingkan sementara 16 lagi dalam sayap Bumiputeranya pula akan ditandingi 22 calon.
Sementara itu, Uggah, yang turut hadir di sidang media itu, berkata keputusan semua cawangan PBB agar jawatan utama itu tidak dipertandingkan adalah bukti akar umbi berkeyakinan penuh dengan Abang Johari dan barisan kepimpinannya untuk menerajui parti dan Sarawak.
"Ini menunjukkan parti telah berjaya untuk merapatkan perpaduan ahli dalam kita meneruskan perjuangan kita pada masa hadapan yang begitu mencabar dan kita yakin PBB akan terus menerajui kerajaan GPS (Gabungan Parti Sarawak),” katanya.
Bertemakan ‘Menjamin Kestabilan, Kemakmuran dan Kegemilangan Sarawak’, persidangan itu dijangka melibatkan seramai 2,420 perwakilan dan akan dirasmikan oleh Abang Johari pada 18 Jun. - Bernama