Penduduk gesa bina bonggol elak kemalangan di simpang empat

Iklan
Penduduk menggesa pihak berkuasa membina bonggol di jalan berdekatan simpang empat menuju ke Bandar Parkland elakkan kemalangan yang sering berlaku. Gambar kecil dari kiri: Mohd Najib, Azmizam

PELABUHAN KLANG - Penduduk di Kota Bayuemas, di sini menggesa pihak berkuasa membina bonggol di jalan berdekatan simpang empat menuju ke Bandar Parkland bagi mengelakkan kemalangan yang sering berlaku di sini.

Pengerusi Persatuan Penduduk Kota Bayuemas, Mohd Najib Mohd Arifin berkata, jalan tersebut sering menjadi lokasi kemalangan kerana pengguna jalan raya sering memecut laju kenderaan mereka di laluan tersebut.

Iklan
Iklan

Tidak cukup dengan itu, jalan tersebut turut sesak pada waktu puncak dan membahayakan pengguna lain kerana keadaan simpang yang mengelirukan.

Bagaimanapun Mohd Najib berkata, pihak Majlis Perbandaran Klang (MPK) dan beberapa agensi berkaitan menyarankan satu kajian dibuat berkenaan keperluan membina bonggol atau jalur rentas kuning (rumble strips) di laluan terbabit.

Iklan

"Setakat ini jalan tersebut mempunyai dua bonggol untuk mengelakkan pemandu membawa kenderaan dengan laju. Kita bina bonggol kerana ada pemandu yang mementingkan diri bawa laju.

"Bagaimanapun cadangan pembinaan bonggol itu masih boleh diserahkan oleh pihak pemaju kepada MPK untuk tujuan kajian lanjut," katanya kepada Sinar Harian selepas Majlis Dialog dan Majlis Rakyat Kota Bayu Emas pada Sabtu.

Iklan

Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelabuhan Klang, Azmizam Zaman Huri yang turut hadir ke sesi dialog tersebut mencadangkan agar kajian mendalam dilakukan untuk membina bonggol di jalan utama berkenaan.

Ujarnya, pembinaan bonggol tanpa mengira kesesuaian kawasan sekitar boleh menyebabkan kerosakan pada rumah-rumah sekitarnya dalam tempoh jangka masa panjang.

Tambahnya, beliau juga pernah menerima pelbagai aduan daripada penduduk di Pelabuhan Klang untuk membuang bonggol di jalan yang merosakkan rumah mereka.

"Setiap kali ada kenderaan melanggar bonggol tersebut, berlaku hentakan yang menjurus kepada gegaran dan menyebabkan retakan kepada rumah-rumah sekitarnya.

"Ada banyak (kes) di kawasan saya kerana banyak lori sampah langgar bonggol itu dan menyebabkan gegaran contohnya seperti di kawasan Telok Gong.

"Atas dasar tanggungjawab, kita maklumkan (kepada MPK) pembinaan bonggol ini penting, cuma reka bentuknya perlu mengurangkan kesan gegaran dan hentakan, perlu lebih landai kerana ia dibina untuk tujuan amaran, bukan menyusahkan," ujarnya.