TURKMENISTAN menyalakan harapan mereka untuk memburu tiket ke Piala Asia 2023 selepas meraih kemenangan 2-1 ke atas Bangladesh dalam aksi kedua Kumpulan E di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Sabtu.
Pada babak pertama perlawanan menyaksikan gawang Bangladesh mula diuji seawal minit kedua menerusi rembatan kencang dalam kotak penalti melepasi palang daripada pemain pertahanan Turkmenistan, Zafar Babajanov hasil sepakan penjuru.
Skuad kendalian Yazguly Hojageldiyev yang tidak berputus asa dalam mencari jaringan pembukaan akhirnya tertunai menerusi sepakan lerek penyerangnya, Altymyrat Annaduryyev pada minit ketujuh di sebelah kiri gawang selepas memanfaatkan sepakan penjuru, Rovshengeldi Halmammeddov.
Bangladesh yang ketinggalan satu gol bagaimanapun tidak mematahkan semangat mereka apabila bangkit menyamakan kedudukan menerusi tandukan pemain tengah, Mohammad Ibrahim pada minit ke-12 hasil lontaran ke dalam petak gol.
The Bengal Tiger itu terus menguasai permainan dan hampir menambah jaringan pada minit ke-27 dan 28 masing-masing menerusi dua pemain tengahnya, Rakib Hossain serta Sazzad Hossain namun kecekapan penjaga gol, Mammet Orazmuhammedov menafikan hasrat lawan.
Asakan demi asakan dilakukan kedua-dua pasukan bagaimanapun gagal menambah jaringan pada 45 minit pertama.
Turkmenistan, bagaimanapun, hampir menggandakan jaringan menerusi tandukan Annaduryev pada masa kecederaan namun tandukannya berjaya diselamatkan penjaga gol Bangladesh.
Bersambung babak kedua, pencaturan Hojageldiyev membawa masuk penyerang gantian Turkmenistan, Amanov Arslan membawa tuah apabila pemain berusia 32 tahun itu muncul wira pasukan dengan memecah kebuntuan gol untuk meledak jaringan dicari-cari pasukan.
Gol kemenangan itu hadir pada minit ke-77 selepas Arslan berada di tempat yang tepat untuk mudah menolak masuk bola ke gawang lawan hasil hantaran lintang rakan sepasukan selepas barisan pertahanan Bangladesh gagal mengeluarkan bola ketika kekalutan di kawasan berbahaya.
Menghampiri masa penuh, hujan lebat mengurangkan intensiti perlawanan sekali gus menyaksikan kedudukan 2-1 kekal hingga wisel penamat dibunyikan pengadil Clifford Daypuyat dari Filipina.
Kejayaan itu menyaksikan Turkmenistan meraih kemenangan sulung dalam kempen Kumpulan E selepas tewas 1-3 di tangan Malaysia pada aksi pertama di venue sama, Rabu lalu.
Sementara itu Bangladesh mengalami dua kekalahan berturut-turut setelah kecundang 0-2 di tangan Bahrain sebelum ini. - Bernama