TAWAU - [DIKEMASKINI] Dua beranak ditemui rentung dalam kebakaran membabitkan lima rumah di Kampung Titingan, Jalan Tawau Lama, di sini, tengah malam Ahad.
Sadiah Jabar, 68, dan anaknya, Kamisah Mapiasah, 49 tahun gagal menyelamatkan diri ketika kebakaran berlaku.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, Julius John Stephen berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 12.53 tengah malam.
Katanya, seramai 20 anggota dikejar ke lokasi kejadian yang terletak empat kilometer dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau.
"Kebakaran melibatkan lima rumah iaitu tiga rumah jenis tidak kekal yang terbakar seratus peratus manakala dua lagi masing-masing terbakar 60 peratus dan 40 peratus.
"Operasi memadamkan kebakaran segera dilakukan dan hasil pemeriksaan terdapat dua mangsa dipercayai dua beranak yang kami temui rentung di bahagian bawah rumah dua tingkat tersebut," katanya ketika dihubungi Sinar Harian, pada Ahad.
Julius berkata, dua lagi ahli keluarga lain sempat menyelamatkan diri daripada rumah berkenaan.
"Kedua-dua mayat kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya," katanya.
Katanya, api berjaya dipadamkan sepenuhnya pada jam 3.08 pagi.