PENGENDALI Jerman, Hansi Flick mengakui pasukan kendaliannya terlalu banyak membuat kesilapan ketika seri 1-1 menentang Hungary di Puskas Arena, awal pagi Ahad.
Menurut Flick, meskipun dia sudah menjangkakan pertemuan menentang Hungary bukan satu tugas yang mudah, namun anak buahnya gagal mencipta beberapa peluang sekali gus menyaksikan mereka terpaksa berpuas hati dengan satu lagi keputusan seri dalam saingan Liga Negara-Negara (UNL).
"Sebelum perlawanan ini, saya sudah menjangkakan aksi ini menjadi perlawanan kedua yang susah selepas England.
"Hungary merupakan pasukan yang bermain dengan unit padat dan kami tidak berjaya menyerang dengan cara yang cukup meyakinkan serta melakukan terlalu banyak kesilapan.
"Kami masih dalam proses pembangunan dan perlu mendapat pengajaran daripada permainan ini,” katanya.
Dalam perlawanan tersebut, Hungary terlebih dahulu membuka tirai jaringan menerusi rembatan Zsolt Nagy pada minit keenam sebelum Jonas Hofmann menyamakan kedudukan tiga minit kemudian hasil percubaan solo yang baik.
Keputusan tersebut menyaksikan, Jerman kekal di tempat ketiga dalam Kumpulan A3 selepas England dan Itali bermain seri 0-0.
Pasukan yang mendapat jolokan Die Mannschaft akan melayan kunjungan Itali di Borussia-Park Rabu ini dalam misi mencari kemenangan pertama mereka bagi kejohanan tersebut.