KETUA jurulatih Itali, Roberto Mancini nyata terkejut dengan persembahan yang ditunjukkan anak buahnya ketika seri tanpa jaringan menentang England dalam saingan Liga Negara-Negara Eropah di Stadium Mollineux, awal pagi tadi.
Menurut Mancini, meskipun turun tanpa beberapa tonggak utama namun pemain-pemain berjaya bermain denan baik dan luar daripada jangkaannya untuk mengutip satu mata pada aksi tersebut.
"Sejujurnya, saya tidak menjangkakan pasukan bakal memperoleh keputusan seperti ini.
"Bagaimanapun masih banyak yang perlu kami perbaiki untuk perlawanan seterusnya. Perjalanan kami masih panjang dalam kejohanan ini,” katanya.
Keputusan seri itu menyaksikan The Azurri memimpin kumpulan A3 dengan kelebihan lima mata berbanding England yang kini berada di tangga tercorot kumpulan selepas mengutip dua mata daripada tiga perlawanan.
Sementara itu, pengendali England Gareth Southgate menyalahkan barisan serangan yang tumpul menjadi punca pasukannya gagal menjaringkan sebarang gol pada perlawanan tersebut.
Bagaimanapun Southgate tetap memuji anak buahnya selepas meraih satu mata pada aksi tersebut.
"Kami mempunyai dua atau tiga peluang yang sangat baik tetapi kekurangan ketajaman di bahagian penyudah.
"Tetapi secara umumnya saya berpuas hati dengan persembahan pasukan. Saya fikir pada separuh masa kedua kami adalah pasukan yang lebih baik," katanya.