KETIKA sedang berjalan seorang diri, Taufik Ali, 25, terjumpa duit di tepi jalan. Nilainya tidak besar mana. Ya, hanya RM5 sahaja. Beliau tidak tahu empunya siapa wang itu.
Lama dia membelek not RM5 itu. Dari semasa ke semasa, lelaki ini menjadi bingung. Tidak tahu hendak buat apa?
Mahu serahkan kepada poliskah? Bagaimanapun, nilainya terlalu kecil. Bukan RM100 atau RM1,000 atau RM10,000 pun. Taufik ada terfikir untuk menderma kepada tabung masjid.
Namun, ketika itu, beliau ditaburi dengan perasaan keliru.
Situasi resah itu barangkali pernah kita hadapi, bukan? Kalau bukan kita sekalipun, mungkin orang di sekeliling kita.
Dalam isu ini, suka untuk penulis bercerita tentang penyelesaian yang dilakukan oleh pentadbiran di Jepun.
Bukan satu momokan sebaliknya diperakui bahawa kalau tercicir duit di Jepun, jangan risau, ia akan dikembalikan.
Di sana, jika rakyatnya menemui duit, secara automatik mereka 'terdidik' untuk menyerahkannya kepada pihak polis. Paling tidak pun, mereka akan menyerahkannya kepada pejabat Lost and Found.
Memetik laporan portal livejapan.com, Status Penerimaan Pemberitahuan Barang Ditemui dan Pemberitahuan Barang Hilang oleh Bahagian Polis Metropolitan Tokyo pada tahun 2017 merekodkan hampir 3.8 bilion Yen (AS$33.55 juta) ditemukan.
Memang menjadi undang-undang dan kewajipan bagi masyarakat tempatan di negara Matahari Terbit itu untuk menghantar sebarang barangan yang hilang kepada pemilik atau pihak berkuasa.
Jika mereka menjumpai sendiri pemiliknya, mereka akan diberikan penghargaan.
Untuk barang hilang atau tercicir, pihak berkuasa Jepun menetapkan had selama tiga bulan dari tarikh diserahkan untuk pemilik mendapatkan semula barang itu. Ia turut akan diuar-uarkan menerusi laman web polis. Jika pemilik asal tidak tampil dalam tempoh tiga bulan, orang yang menjumpai barang itu berhak menjadi pemilik baharu. Kes ini pernah berlaku.
Namun barangan seperti telefon bimbit, lesen memandu dan barang lain yang mempunyai maklumat peribadi tidak akan diberikan. Bagi item seperti payung, pakaian dan yang bernilai lebih rendah akan disimpan selama dua minggu. Jika pemilik tidak dijumpai, ada kemungkinan ia akan dijual atau dilupuskan.
Itu di Jepun. Bagaimana pula di Malaysia? Dan apa pula pandangan agamawan tentang duit dan barang hilang ini?
Hukum
Menjawab soalan itu, pendakwah, Ustaz Mohd Khairul Azman Md Daud atau Ustaz MK Azman berkata, duit RM5 yang dijumpai oleh Taufik tadi sebenarnya dikategorikan sebagai barang luqatah.
Luqatah ialah harta ataupun barang dijumpai di suatu tempat yang tidak dimiliki, tidak diketahui pemiliknya, tiada tanda-tanda di dalam jagaan atau tidak berada di tempat yang lazimnya harta atau barang itu berada, sama ada ia hilang daripada pemiliknya disebabkan tercicir ataupun terlupa.
"Jika wang tersebut dijumpai dalam kawasan yang ada tuannya seperti di halaman rumah jiran atau rumah kita, maka ia bukan kategori barang yang hilang. Ia hendaklah dikembalikan kepada tuan tanah," jelasnya.
Bagi menguruskan barang yang hilang atau dijumpai, jelas MK Azman, Islam sebenarnya mempunyai 'prosedur operasi standard' sendiri.
Jelasnya, orang yang menjumpai barang tersebut terikat kepada beberapa hukum iaitu sunat, wajib, harus, haram dan makruh.
SUNAT: Sebilangan besar ulama berpendapat bahawa orang yang terjumpa barang yang dipercayai tercicir (luqatah), sunat memungutnya jika dia percaya dirinya akan berlaku amanah, agar barang itu tidak diambil oleh orang yang khianat. Namun, jika dia sendiri tidak yakin berlaku amanah, maka, tidaklah disunatkan memungut barang tersebut.
WAJIB: Wajib dipungut barang luqatah yang dijumpai di tempat yang dipercayai barang itu boleh jadi akan hilang sama ada diambil orang atau ditiup angin. Jika dibiarkan atau di tempat laluan orang fasik dan khianat ataupun di tempat yang dikhuatiri tiada orang yang amanah selain diri orang yang menjumpai itu. Jika tidak di dalam keadaan sedemikian, maka tidaklah dihukumkan wajib.
HARUS: Harus pula hukumnya mengambil wang tersebut jika tidak dikhuatiri barang tersebut akan hilang. Dalam erti kata lain, boleh sahaja dipungut atau boleh juga ditinggalkan.
HARAM: Bagi orang yang tahu dan pasti dia akan berlaku khianat, lalu mengambil wang tersebut untuk dirinya, bukan untuk menjaga dan mengembalikannya kepada pemiliknya atau pihak yang berhak, maka, hukumnya adalah haram.
MAKRUH: Manakala makruh ke atas orang yang tidak percaya dan tidak yakin dengan dirinya menjaga dan bertanggungjawab terhadap barang luqatah itu memungutnya.
Mengulas lanjut, MK Azman berkata, jika wang yang dijumpai itu nilainya kecil, individu itu hendaklah mengumumkannya kepada orang ramai (dengan cara apa sekalipun termasuk menggunakan media sosial) dalam tempoh tiga hari.
"Jika pemiliknya tidak dijumpai, duit tersebut boleh digunakan atau dimasukkan ke dalam tabung masjid atau surau dengan niat pahalanya untuk pemilik wang tersebut," katanya.
Ia sebagaimana hadis disebutkan dari Abu Sa'id dari Ali RA bahawa telah datang kepada Nabi Muhammad SAW seseorang dengan membawa satu dinar yang ditemui di pasar.
Baginda bersabda:"Umumkanlah selama tiga hari." Lalu ia melaksanakannya, dan ia tidak menemui pemiliknya kemudian Nabi SAW bersabda:"Makanlah". (Riwayat Abdul Razaq)
Kepada satu soalan, MK Azman berkata:"Jika nilai sedikit seperti RM5, dibolehkan untuk digunakan sekiranya terdesak jika tidak dijumpai pemiliknya.
"Lagipun nilai RM5 bukanlah nilai yang wajib dikenakan hukum had. Pun demikian, jika pemiliknya datang menuntut semula wangnya, hendaklah orang yang guna duit itu menggantikannya semula dengan kadar nilai RM5 juga."