Johor sasar 3 juta tan metrik ikan pada 2020

Iklan
Alwiyah (kanan) mewakili Sahruddin merasmikan Majlis Hari Bertemu Pelanggan Jabatan dan Agensi di bawah MOA Inc Portfolio Pertanian Negeri Johor Siri Kedua Tahun 2019 di Pusat Informasi Taman Laut, Mersing, semalam.

MERSING - Kerajaan Johor mensasarkan mencapai pengeluaran ikan sebanyak tiga juta tan metrik pada 2020.

Exco Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian, Dr Sahruddin Jamal berkata, walaupun Malaysia capai lebihan dalam tahap sara diri bekalan ikan, namun pengguna terus menghadapi isu kenaikan harga ikan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, ini menunjukkan cabaran dihadapi bukan sahaja bagi memastikan cukup bekalan, tetapi juga jaminan kemampuan rakyat memperolehi ikan sebagai sumber protein dalam makanan.

"Jaminan bekalan ikan makanan akan terus menjadi cabaran yang besar di masa depan akibat kesan daripada perubahan iklim, faktor pengeluaran terhad, kenaikan harga input, persaingan bahan makanan untuk pengeluaran bio-tenaga dan liberalisasi perdagangan.

Iklan

"Permintaan ikan makanan akan terus meningkat akibat pertambahan penduduk dan pendapatan serta perubahan citarasa pengguna," katanya dalam teks ucapan yang dibacakan ADUN Endau, Alwiyah Talib.

Terdahulu, Alwiyah mewakili Sahruddin merasmikan Majlis Hari Bertemu Pelanggan Jabatan dan Agensi di bawah MOA Inc Portfolio Pertanian Negeri Johor Siri Kedua Tahun 2019 di Pusat Informasi Taman Laut Mersing, semalam.

Iklan

Dalam ucapan sama, beliau turut memaklumkan kerajaan akan memastikan sub-sektor perikanan terus menyumbang kepada kecukupan bekalan negara.

Di samping meningkatkan pendapatan pengusaha dan menjadikan bidang agromakanan sebagai perniagaan yang berdaya saing dan mampan.

"Hari bertemu pelanggan ini untuk membantu nelayan, penternak ikan, pengusaha perikanan dan kumpulan sasar yang merupakan benteng pertahanan keselamatan makanan negara kita.

"Malah mereka menyabung nyawa membekalkan sumber makanan asas untuk rakyat.

"Adalah menjadi tanggungjawab kita untuk mengeluarkan kumpulan sasar yang menjadi benteng pertahanan keselamatan makanan negara ini dari persepsi kemiskinan seperti diharapkan Perdana Menteri," katanya.