JOHOR BAHRU - Setiap peniaga atau pemilik restoran perlu banyak bersabar dan mesti sopan ketika melayan ragam pelanggan.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Datuk Rosol Wahid berkata, jangan biadab kepada pelanggan terutama memaki hamun mereka dengan kata-kata kesat.
"Peniaga perlu sentiasa mematuhi etika perniagaan, menghormati, menghargai pelanggan masing-masing, banyakkan sabar dan tolak ansur. Apa sahaja pelanggan buat, sepatutnya peniaga perlu bersabar," katanya kepada pemberita selepas melakukan tinjauan sempena Program Jualan Keluarga Malaysia di Pasar Raya Lotus Tebrau, pada Ahad.
Hadir sama Pengarah KPDNHEP Johor, Mohd Hairul Anuar Bohro.
Bercakap mengenai kontroversi mengenai kejadian membabitkan peniaga didakwa biadab dengan pelanggan Rosol berpandangan, diharap insiden seumpama itu tidak berulang dan menjadi pengajaran kepada semua pihak yang terlibat dalam perniagaan.
Menurut Rosol, setakat ini tiada akta yang membolehkan peniaga dikenakan kompaun berhubung insiden seumpama itu.
"Diharap semua orang kena banyak bersabar," kata beliau lagi.
Sejak Khamis tular dalam media sosial insiden seorang wanita yang membawa ahli keluarganya dari Singapura makan di sebuah restoran di Melaka mendakwa menerima layanan buruk daripada pemilik premis makanan tersebut.
Dalam rakaman video tersebut, jelas kedengaran suara dipercayai pemilik restoran memarahi pelanggan berkenaan.