MPT Bersatu nafi Azmin, pemimpin lain tinggalkan parti macam Zuraida

Iklan
Rosol Wahid

JOHOR BAHRU - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menafikan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti (MPT), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan beberapa pemimpin lain akan mengikut langkah Datuk Zuraida Kamaruddin meninggalkan parti tersebut.

Ahli MPT Bersatu, Datuk Rosol Wahid berkata, tidak ada sebab atau alasan kukuh untuk individu-individu yang dikhabarkan itu mengikut langkah Ahli Parlimen Ampang tersebut.

Iklan
Iklan

Beliau yang merupakan Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna berkata, Mohamed Azmin dan Ahli Parlimen Batu Pahat, Datuk Mohd Rashid Hasnon menunjukkan komitmen mereka dengan menghadiri mesyuarat MPT parti yang diadakan seperti biasa termasuk perjumpaan terbaharu.

"Buat masa ini saya nafikan kerana tiada perkara jelas seperti itu (meninggalkan parti). Diharap tidak ada isu seperti itu sebab sekarang hanya fokus untuk meningkatkan ekonomi dan membaiki kos sara hidup rakyat," katanya kepada pemberita selepas melakukan tinjauan ke Program Jualan Keluarga Malaysia di Pasar Raya Lotus Tebrau, pada Ahad.

Iklan

Pada 26 Mei lalu, Zuraida mengumumkan meletak jawatan sebagai Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi serta keluar Bersatu untuk menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM).

Selain Zuraida, beberapa nama lain turut disebut-sebut akan mengambil tindakan sama termasuk Mohamed Azmin dan Mohd Rashid.

Iklan

Pada 29 Mei lalu, Ahli MPT Bersatu, Datuk Razali Idris menolak khabar angin tersebut selepas beliau sendiri menghubungi Mohamed Azmin yang menafikan beliau akan meninggalkan Bersatu untuk menyertai PBM.

Dalam pada itu, Rosol berkata, keputusan Zuraida tidak menjejaskan parti kerana jawatan sebagai MPT yang disandangnya adalah lantikan bukan kerana menang bertanding.

Justeru, Rosol berharap isu berkenaan tidak dibangkitkan lagi dan semua pihak perlu menumpukan usaha untuk menyelesaikan isu rakyat.