KUALA LUMPUR - Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pemartabatan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan memerlukan komitmen seluruh anggota masyarakat.
Justeru beliau menyifatkan pandangan yang mengatakan bahawa usaha memartabatkan bahasa kebangsaan akan meremehkan dan melemahkan penguasaan bahasa Inggeris sebagai pandangan yang sangat meleset.
"Penguasaan bahasa baik Bahasa Cina, Bahasa Inggeris, Bahasa Arab, Bahasa Perancis atau Bahasa Tamil itu harus digalakkan bermula dengan paksi dan keutamaan Bahasa Melayu," katanya kepada pemberita selepas Majlis Peluncuran Buku Kombo Merdeka 65 Tahun Sasterawan Negara A.Samad Said di Pesta Buka Antarabangsa Kuala Lumpur pada Ahad.
Sementara itu, Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson berkata beliau menyokong sepenuhnya langkah kerajaan memansuhkan hukuman mati mandatori baru-baru ini.
"Saya pastinya menyokong, saya mendukungnya kerana undang-undang sekarang memaksa hakim untuk menghukum tanpa ada pilihan, tetapi dengan pindaan ini memberi ruang kepada hakim menilai fakta dan undang-undangnya dan bukti untuk menjatuhkan hukuman," katanya.
Pada Jumaat, kerajaan bersetuju memansuhkan hukuman mati mandatori di negara ini, dengan hukuman gantian tertakluk kepada budi bicara mahkamah. - Bernama