SABAK BERNAM - Seorang warga emas tidak dapat menahan sebak apabila kakaknya, Masriah Sa'aludin, 76, yang hilang sejak petang Sabtu ditemui meninggal dunia dalam parit di Jalan Haji Roshidi Kampung Tebuk Berihun di sini pada Ahad.
Rohani Sa'aludin, 71, berkata, kehilangan Allahyarhamah Masriah amat menyedihkan apatah lagi sudah tinggal bersama sejak lebih 20 tahun lalu.
Menurutnya, kakaknya itu mempunyai hubungan rapat dengannya dan sering meluangkan masa bersama di rumah yang turut dihuni anak dan menantu serta tiga cucunya.
"Saya banyak meluangkan masa berbual dengan Masriah dan tidak sangka kakak menemui Ilahi terlebih dahulu.
"Saya rasa sedih sebab sudah hilang kakak yang saya anggap macam kembar sendiri kerana banyak kenangan antara saya dan dia di rumah pusaka ini," katanya ketika ditemui Sinar Harian pada Ahad.
Rohani berkata, kakaknya itu sebelum ini pernah berkahwin tetapi telah berpisah dan tidak mempunyai anak.
Jelasnya, tiada petanda ditunjukkan Allahyarhamah melainkan dilihat lebih gemar makan mi goreng seminggu sebelum kejadian.
"Biasa kakak tidak kisah makan, tapi saya perasan perubahan tabiat Allahyarhamah suka mi goreng.
"Malah, Allahyarhamah sempat menikmati mi goreng mamak yang saya beli di Pekan Sabak Bernam sebelum dilaporkan hilang pada Jumaat," jelasnya.
Mengulas lanjut, katanya, Masriah sejak beberapa bulan lalu mengalami masalah kurang daya ingatan dan kerap mengulangi pertanyaan sama.
Katanya, perubahan itu tidaklah terlalu teruk dan masih boleh mengingati mereka sekeluarga yang menetap di situ.
"Dia banyak kali juga ulang soalan yang sama, tapi saya anggap biasa disebabkan faktor umurnya yang meningkat.
"Pemergian ini memang sedih, saya hilang kata-kata dan hanya mampu menangis bersendirian mengenangkan Allahyarhamah yang sudah pergi buat selamanya," ujarnya.
Bagaimanapun, katanya, dia reda dan menerima ketentuan ALLAH dan berdoa semoga Allahyarhamah Masriah ditempatkan dalam kalangan insan beriman.
"Saya seakan tidak percaya arwah hilang lebih satu hari, lebih-lebih lagi kami sudah mencarinya di kebanyakan tempat dan tidak menyangka jasadnya ditemui hanya 200 meter dari rumah.
"Lebih pelik, Allahyarhamah bukanlah kuat sangat berjalan, kebanyakan masa dihabiskan di rumah, tetapi tiba-tiba hilang," jelasnya.
Anak Rohani, Zulazlan Jamaludin, 39, berkata, kehilangan Masriah disedari isterinya sewaktu ingin mencuci botol susu anaknya di rumah berkenaan.
"Isteri sedar arwah tiada di katil pada jam 12.30 tengah malam dan terus maklumkan kepada kami sebelum mencarinya di dalam rumah.
"Kami kemudian keluar mencari Masriah di luar rumah, namun tidak dijumpai hingga terpaksa memaklumkan kepada penduduk kampung mengenai kehilangan tersebut," katanya.
Jelasnya, penduduk kampung berusaha mencari Masriah namun gagal ditemui sebelum mayatnya dijumpai di dalam parit.
"Saya akui terasa kehilangan ibu saudara yang penyayang dan baik hati apatah lagi sudah tinggal menatap lama dengannya," ujarnya.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kehilangan itu pada 9.11 pagi Ahad.
Beliau berkata, operasi mencari mangsa dijalankan sepasukan enam anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sabak Bernam.
Jelas Norazam, usaha mengesan wanita itu dilakukan dan mayat mangsa ditemukan meninggal dunia dalam parit kira-kira 200 meter dari rumahnya pada jam 9.20 pagi Ahad.