PELABUHAN KLANG - Seramai 978 pemilik rumah di Kota Bayuemas, di sini berdepan pelbagai masalah yang mengganggu kehidupan seharian mereka sejak mendiami perumahan itu pada 2005.
Antara isu dihadapi penduduk termasuklah masalah lalu lintas dan sistem saliran sering tersumbat terutamanya ketika musim hujan yang boleh mengakibatkan banjir kilat.
Pengerusi Persatuan Penduduk Kota Bayuemas, Mohd Najib Mohd Arifin berkata, masalah-masalah tersebut mula dikesan sejak hujung 2018 dan di awal 2019.
Tidak cukup dengan itu, mereka turut terbeban dengan kenaikan kadar cukai taksiran yang dikenakan oleh Majlis Perbandaran Klang (MPK) pada 2021, walaupun perkhidmatan yang diberikan disifatkan tidak seberapa.
"Walaupun cukai taksiran dinaikkan pada 2021 dalam musim pandemik, penduduk amat kesal dengan perkhidmatan penyelenggaraan oleh pihak tersebut," katanya kepada Sinar Harian di Majlis Dialog dan Jamuan Rakyat pada Sabtu.
Mengulas lanjut, Mohd Najib berkata, Majlis Dialog dan Jamuan Rakyat bersama pelbagai agensi kerajaan dan swasta yang diadakan itu bagi membolehkan pihak tersebut mendengar permasalahan penduduk dan menyediakan solusi kepada isu yang berlaku.
Ujarnya, selain pihak MPK dan pemaju kawasan tersebut, pihak lain seperti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelabuhan Klang, Azmizam Zaman Huri, wakil Jabatan Kerja Raya, KDEB Waste Management dan Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd turut hadir ke majlis tersebut.
Menerusi majlis tersebut, antara masalah yang disuarakan oleh para penduduk kepada agensi berkenaan adalah pembinaan bonggol di jalan berdekatan simpang empat menuju Bandar Parkland bagi mengelakkan kemalangan yang sering berlaku di kawasan itu.
"Jalan tersebut sering menjadi lokasi kemalangan kerana pengguna memecut laju di laluan tersebut dan ia membahayakan pengguna jalan raya yang lain, namun pihak MPK dan beberapa agensi berkaitan menyarankan agar satu kajian dibuat berkenaan keperluan membina bonggol atau jalur rentas kuning (rumble strips) di jalan tersebut," jelasnya.
Mengulas mengenai majlis dialog, Mohd Najib memberitahu pihaknya berpuas hati dengan respons daripada pelbagai agensi yang hadir dan mengharapkan agar segala masalah membelenggu penduduk di kawasan itu ketika ini dapat diselesaikan sewajarnya.