PELUMBA Petronas Sprinta Yamaha Maju Motor, Nazirul Izzat Bahauddin muncul juara Pusingan Ketiga Kejuaraan Cub Prix Malaysia Petronas di Litar Antarabangsa Sepang pada Ahad.
Namun, sepanjang perlumbaan kelas CP150 itu, Nazirul tampak bergelut antara pelumba yang lain untuk mengekalkan kedudukannya dan pada lap terakhir apabila dia jatuh ke tangga keenam.
Begitupun, dia dengan pantas mengatasi cabaran tersebut dan kembali memimpin perlumbaan sebelum menjadi pelumba pertama melintasi garisan penamat dengan catatan 14 minit 07:916 saat (s).
"Kejayaan ini adalah hasil usaha pasukan saya. Keadaan jentera saya yang stabil telah membolehkan saya untuk menamatkan perlumbaan ini tanpa sebarang masalah teknikal.
"Kesemua sembilan belas pelumba memang hebat dan perlumbaan ini sememangnya sengit. Namun, saya mampu mengekalkan momentum saya dan menyambar pada masa yang tepat,” kata Nazirul.
Tempat kedua menjadi milik Md Izam Ikmal Izamli daripada pasukan ONEXOX Racing dengan catatan masa 14’07:924s.
Pelumba Honda Yuzy Idemitsu, Azroy Hakeem Anuar yang telah memulakan perlumbaan di grid pertama mengambil tempat ketiga di podium dengan catatan masa 14’08:070s.
Bagi kategori CP125, Md Hafiza Rofa mencipta hatrik dengan satu lagi kemenangan untuk pasukan ONEXOX TKKR Racing apabila menyambar kedudukan pertama di podium dengan catatan masa 11’07:606s.
"Persaingan ini memang sengit tetapi saya berjaya menggunakan strategi seperti yang telah dirancang untuk litar ini.
"Pusingan seterusnya akan berlangsung di tempat kelahiran saya dan sudah pasti ingin melakarkan kemenangan di situ,” ujar Hafiza.
Tempat kedua pula milik Md Norhakim Md Morhafizullah daripada ONEXOX Racing yang menamatkan perlumbaan dengan catatan masa 11’07:732s.
Tempat ketiga jatuh ke tangan Md Irfan Haykhal Amidi daripada pasukan Honda KC Racing dengan catatan masa 11'07.778.
Bagi kategori Wira KBS, Md Syamil Amysar Md Iffende daripada pasukan Petronas Sprinta Yamaha 31 Racing sekali lagi mendominasi litar dengan kejayaan di tangga pertama.
Pencapaian itu sememangnya telah dijangka memandangkan prestasi Syamil yang mantap dalam dua pusingan sebelum ini selain dia mencatatkan masa terpantas pada sesi kelayakan.
"Kemenangan saya adalah kerana keadaan jentera saya yang baik. Awal pagi tadi, saya kecewa dengan sesi 'warm-up' kerana terjatuh.
"Saya akan terus memberikan yang terbaik dalam perlumbaan ini bukan sekadar 'playsafe',” jelasnya yang merekodkan catatan masa 9’40:569s.
Tempat kedua dan ketiga juga disambar pasukan Petronas Sprinta Yamaha 31 Racing, Md Adam Haikal Jahar dan Md Danish Aiman Zamrul masing-masing dengan catatan masa 9’46:202 dan 9’49:108s.