SHAH ALAM - Pimpinan tertinggi Perikatan Nasional (PN) telah dimaklumkan tentang perbincangan tidak rasmi Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama pimpinan parti-parti politik lain menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Muhyiddin dalam satu kenyataan berkata, perkara itu diberitahu sewaktu beliau mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tertinggi PN yang berlangsung pada malam Sabtu.
Antara pimpinan PN yang hadir adalah Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang; Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) Sabah, Datuk Seri Dr. Jeffrey Kitingan; Presiden Parti Maju Sabah (SAPP), Datuk Seri Yong Teck Lee dan Presiden Gerakan, Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai serta wakil-wakil dari semua parti komponen.
"Mesyuarat Majlis Tertinggi mengambil maklum tentang perbincangan tidak rasmi saya dengan pimpinan parti-parti politik yang lain.
"Mesyuarat juga membuat ketetapan untuk terus memperkasakan PN dan memperkukuhkan gerak kerja parti komponen PN dalam persiapan menghadapi PRU15 dan mendepani isu-isu semasa yang dihadapi rakyat amnya,” katanya.
Beliau turut mengumumkan beberapa pelantikan baharu melibatkan Dominic sebagai Pengerusi Badan Perhubungan PN Pulau Pinang dan pelantikan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Johor, Datuk Dr. Sahruddin Jamal sebagai Pengerusi Badan Perhubungan PN Johor.