PM seru Keluarga Malaysia amal konsep Tasamuh

Iklan
Ismail Sabri menghadiri Majlis Perasmian Pembukaan Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan (MTHQK) di Dewan Besar Pusat Islam Iskandar pada Ahad. - Foto Bernama

JOHOR BAHRU - Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, menyeru masyarakat di negara ini mengamalkan konsep Tasamuh yang menekankan nilai toleransi dan kebersamaan, selaras dengan pendekatan Keluarga Malaysia.

Katanya, Tasamuh adalah perkataan bahasa Arab yang bermaksud toleransi atau berlapang dada dengan mana-mana budaya yang tidak bertentangan akidah Islam boleh disantuni tanpa sebarang stigma dan diskriminasi.

Iklan
Iklan

"Tasamuh adalah istilah yang terkait dengan akhlak terpuji. Dalam Islam, ada banyak sikap dan perbuatan baik yang harus diterapkan dalam hidup.

"Bagi negara yang memiliki bangsa dan budaya yang majmuk seperti Malaysia, sikap toleransi atau tasamuh sangat penting sebagai alat menyatupadukan kita semua.

Iklan

"Tasamuh adalah asas utama dalam menghadapi keragaman dan perbezaan bangsa dan agama lebih-lebih lagi dalam konteks negara Malaysia yang mempunyai kepelbagaian bangsa, agama, budaya serta bahasanya," katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Tilawah dan Menghafaz al-Quran Peringkat Kebangsaan (MTHQK) Tahun 1443H/2022M di Dewan Besar Pusat Islam Iskandar di sini pada Ahad.

Iklan

Hadir sama, Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Tan Sri Dr Azmi Rohani.

Menurut beliau, bersesuaian dengan tema majlis tahun ini iaitu Manhaj Rabbani, Ummah Berkualiti, ia menjadi titik tolak bagi melahirkan generasi yang berpegang kepada al-Quran dan as-Sunnah untuk membentuk sebuah negara yang harmoni.

"Dengan kecanggihan kemajuan teknologi, tiada alasan lagi untuk kita tidak meluangkan masa mendengar atau membaca al-Quran.

"Ini kerana terdapat aplikasi al-Quran digital yang boleh dimuat naik dalam peranti seperti telefon pintar, tablet atau komputer riba," katanya.

MTHQK 2022 dijadualkan berlangsung selama enam hari bermula esok sehingga Sabtu ini di Dewan Besar Pusat Islam Iskandar.

Seramai 110 peserta dari seluruh negara menyertai MTHQK 2022 dengan 29 orang menyertai Majlis Tilawah al-Quran manakala 81 orang lagi menyertai Majlis Hafazan al-Quran.

Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar pula berkenan untuk berangkat ke majlis perasmian penutup dan pengurniaan hadiah MTHQK Johor 2022 pada 17 Jun di lokasi sama.

Siaran langsung Majlis Hafazan al-Quran Peringkat Kebangsaan boleh diikuti di TV Alhijrah dan FB JAKIM, manakala siaran langsung Majlis Tilawah al-Quran Peringkat Kebangsaan pula disiarkan TV1.