‘Sistem sedia ada cacat’

Iklan
Kanak-kanak harus diberi peluang untuk dibesarkan dalam penjagaan keluarga yang penuh kasih sayang. - Gambar hiasan

SHAH ALAM - Menghela nafas berat dan berbaur kekecewaan adalah perkara pertama yang Datin Paduka Che Asmah Ibrahim lepaskan apabila ditanya tentang nasib anak-anak yatim piatu di Malaysia.

Dia kelihatan tenang dan tenteram. Bibirnya mencebik tetapi matanya bersinar-sinar.

Iklan
Iklan

"Sistemnya cacat. Institusi-institusi kerajaan menjadi tempat terakhir yang mereka harus dibesarkan.

"Saya percaya kanak-kanak harus diberi peluang untuk dibesarkan dalam penjagaan keluarga yang penuh kasih sayang,” tegasnya.

Iklan

Che Asmah tidak asing lagi dalam komuniti anak-anak yatim di Malaysia.

Beliau ialah Ketua Pegawai Eksekutif OrphanCare iaitu organisasi yang bukan berasaskan keuntungan dan juga bekas Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Kebajikan Negara - sebuah badan kebajikan di bawah bidang kuasa Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Iklan

Secara mudahnya, dia adalah seorang yang pernah berada di dalam dan luar sistem kebajikan.

Dan pandangan kritisnya terhadap rumah anak yatim diuruskan oleh kerajaan yang secara rasmi dipanggil Rumah Kanak-Kanak di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), bukannya dibuat tanpa merit.

"Bagi kanak-kanak yang dibesarkan di rumah ini, kehidupan mereka diatur dengan jadual tetap. Didikan mereka tidak pernah sama seperti yang dialami oleh mereka yang dibesarkan dalam suasana keluarga.

"Mereka mempunyai interaksi yang sangat sedikit dengan orang ramai dan masyarakat secara amnya. Selalunya, mereka disimpan di sana sehingga berumur 18 tahun dan kemudian dibebaskan kepada masyarakat,” jelas beliau.

Che Asmah berkata, pendekatan ini bertentangan dengan dasar penjagaan kanak-kanak kekeluargaan untuk mereka yang terbiar seperti dikuatkuasakan pada tahun 2006.

"Dasar yang menggariskan penjagaan berasaskan keluarga untuk kanak-kanak ini ada. OrphanCare terlibat dalam menjayakannya.

"Undang-undang telah dipinda untuk memasukkan dasar itu tetapi kami tidak melihat banyak usaha untuk merealisasikannya,” ujarnya.

Tambah beliau, projek perintis untuk menguji dasar itu yang bermula pada tahun 2016 sedang berjalan dengan pantas namun masih belum membuahkan hasil.

"Kami telah membuat kajian sendiri dan mendapati bahawa 90 peratus daripada kanak-kanak di rumah anak yatim kerajaan mempunyai ahli keluarga lanjutan.

"Ramai yang dihantar ke institusi itu kerana keluarga tidak mempunyai kemampuan untuk menjaga mereka.

"Sekiranya kerajaan mahu mempromosikan penjagaan berasaskan keluarga maka ia harus membantu dan memperkasakan keluarga lanjutan kanak-kanak supaya mereka boleh disepadukan semula dan dibesarkan dalam suasana kekeluargaan,” jelasnya.

Sebaliknya, kementerian dan JKM didakwa mengambil pendekatan berbeza - satu percanggahan yang agak pelik.

Oleh kerana kemudahan dan tenaga kerja yang terhad, jabatan itu didakwa mendapatkan perkhidmatan rumah anak yatim swasta di bawah pengawasannya.

Dalam satu cara, pengaturan ini tidak menggalakkan penerimaan dan penyepaduan semula.

"Walaupun tidak semua rumah anak yatim swasta teruk, kita telah melihat beberapa kes di mana pihak tertentu menimbunkan kanak-kanak dari JKM hanya untuk mendapatkan pendapatan yang stabil,” katanya.

Lombong emas

Malaysia kini mempunyai 15 rumah kanak-kanak di seluruh negara dengan kapasiti pendaftaran maksimum 1,500 dan kerana institusi ini dibentuk oleh Akta Kanak-kanak, ia hanya boleh membantu mereka yang berumur di bawah 18 tahun.

Seorang pemilik rumah anak yatim persendirian yang tidak mahu namanya disiarkan mengakui memang ada pemilik rumah anak yatim yang tidak bertanggungjawab melakukan perkara ini.

Bagi mereka, JKM adalah lombong emas.

"Anak-anak yatim adalah komoditi yang berharga.

"Mereka lebih suka bayi-bayi yang dibuang dan terbiar kerana lebih mudah untuk memujuk orang ramai untuk menderma kepada institusi mereka,” dedahnya.

Che Asmah berkata, susunan quid-pro-quo (pulangan mendapatkan manfaat) ini juga bermasalah kerana tidak semua orang boleh menjaga kanak-kanak yang bukan milik biologi mereka atau saudara terdekat mereka.

Dan dalam beberapa senario terburuk, kanak-kanak ini mungkin akhirnya didera.

Satu contoh kes ialah insiden tragis seorang anak yatim sindrom down yang ditemui cedera parah di rumah anak yatim swasta baru-baru ini dengan prosiding undang-undang terhadap pelakunya sedang berjalan.

"Jadi, kami mempunyai satu dasar di sini, bercakap tentang penjagaan berasaskan keluarga dan sebaliknya. Kami juga mengeluarkan pendekatan yang dalam satu cara, memberi insentif kepada rumah anak yatim swasta untuk mengekalkan lebih ramai kanak-kanak bersama mereka.

"Konsep kita (di negara ini) tentang rumah anak yatim adalah salah. Rumah anak yatim sepatutnya disediakan hanya sebagai rumah transit untuk kanak-kanak yang terbuka sama ada untuk diambil atau diasuh.

"Malaysia tidak mempunyai sistem asuhan tetapi pengambilan anak angkat boleh dilakukan,” kata Che Asmah.

Beliau berhujah bahawa jika Malaysia benar-benar menyokong penjagaan berasaskan keluarga, maka JKM harus utamakan untuk memadankan anak yatim di bawah jagaan mereka dengan bakal ibu bapa angkat dan bukannya memastikan mereka diinstitusikan.

"Ini adalah untuk memberi peluang kepada anak-anak membesar dan mendapat kasih sayang dan penjagaan keluarga dan bukannya mengekalkan mereka di institusi, sama ada kerajaan atau swasta.

"Selain itu, daripada memberi wang kepada institusi swasta, mengapa tidak kita sebaliknya memberikan wang itu kepada ahli keluarga lanjutan yang bersetuju untuk menjaga anak-anak ini dan melakukan pemeriksaan berkala bagi memastikan tidak ada hanky-panky (sesuatu yang tidak betul),” katanya.

Didik untuk berdikari

Satu lagi kelemahan sistem semasa yang didakwa berlaku adalah amalan membesarkan kanak-kanak dengan disiplin ketat di rumah kanak-kanak.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Pemerkasaan Belia (YEF) Malaysia, Annie Othman menegaskan, pendekatan itu mempunyai cara mempengaruhi pertumbuhan psikologi anak-anak yatim yang dibesarkan di institusi itu.

"Apabila mereka datang kepada kami, walaupun mereka berusia 18 tahun, anda boleh tahu bahawa mereka belum didedahkan dengan kehidupan sebenar.

"Mereka tidak tahu bagaimana untuk bersosial, bagaimana bercakap dengan orang dewasa. Amat sukar untuk mendapatkan tumpuan mereka apabila anda bercakap dengan mereka,” kata Annie.

Sama seperti OrphanCare, YEF juga merupakan organisasi bukan berasaskan keuntungan yang mengkhusus dalam penjagaan anak-anak yatim; mengendalikan rumah transit untuk anak-anak yatim yang dipaksa oleh undang-undang untuk meninggalkan rumah anak-anak yatim mereka walaupun tidak mempunyai tempat lain untuk pergi.

"Mereka yang tahu, memanggil mereka ‘budak-budak institusi’ (kanak-kanak yang diinstitusikan), tetapi di YEF kami memanggil mereka benefisiari kami.

"Sungguh menyedihkan apa yang kanak-kanak ini terpaksa lalu.

"Mereka perlukan bimbingan. Mereka perlu diajar bagaimana untuk berdikari. Di dalam institusi, keperluan asas mereka semua dijaga, tetapi mereka tidak menyedari hakikat bahawa faedah ini akan hilang apabila mereka keluar dari institusi tersebut.

"Jika kuasa yang ada tidak mengubah sistem, maka apa yang akan berlaku kepada anak-anak yatim ini?” tanya Annie.

*Wartawan ini ialah penerima Geran Kisah Kewartawanan Penyiasatan Internews Europe yang ditaja oleh Suruhanjaya Eropah. Artikel ini adalah sebahagian daripada projek Suara Komuniti Internews – Suara Masyarakat