KECOH seharian gara-gara kisah penyodok. Kalau biasanya penyodok digunakan untuk mengaut sampah, kali ini ia digunakan untuk mengaut air di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), Kuala Lumpur pada malam Sabtu.
Kedengaran lucu, tapi itu sahajalah ‘level’ kita tatkala pasukan negara bersaing di peringkat antarabangsa, menentang pasukan Bahrain.
Lebih pedih, Malaysia tewas 1-2 menyebabkan peluang Malaysia untuk beraksi di pentas Piala Asia 2023 dilihat semakin sukar.
Situasi itu tidak seharusnya berlaku memandangkan kerajaan sudah membelanjakan RM1 bilion untuk menaik taraf kompleks Stadium Nasional Bukit Jalil pada 2015 dan pihak bertanggungjawab dilihat gagal menguruskan keadaan padang dengan baik, khususnya dalam situasi hujan lebat.
Setelah dikecam hebat ramai pihak termasuk Jabatan Netizen Malaysia, Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) kemudiannya memberitahu bahawa tiada sebarang arahan dikeluarkan supaya penyodok dan kadbod digunakan untuk mengalirkan air keluar dari padang sebelum perlawanan berlangsung.
Ketua Pegawai Eksekutif PSM, Mohd Faidz Sanusi berkata, tindakan mengeluarkan air secara manual itu tidak sepatutnya dilakukan kerana ‘venue’ itu mempunyai sistem perparitan yang berfungsi dengan baik untuk mengalirkan air yang bertakung di padang.
Menurutnya, sistem perparitan di Stadium Nasional membolehkan permukaan padang yang bertakung kembali normal dalam tempoh 15 minit selepas hujan berhenti sementara sekiranya hujan lebat disusuli hujan renyai ia mengambil masa antara 20 hingga 25 minit untuk air surut.
Bagaimanapun, disebabkan penggunaan penyodok dan kadbod untuk mengeluarkan air, permukaan padang menjadi lebih teruk kerana ia merosakkan rumput.
Namun yang menjadi persoalannya, adalah sistem perparitan di stadium berkenaan berfungsi dengan baik? Kedua, kenapa penyodok dan kadbod digunakan untuk mengalirkan air keluar dari padang?
Ada netizen kita yang cukup kecewa dan membandingkan bagaimana negara luar yang menggunakan ‘heavy-duty roller squeegee’ apabila berdepan situasi sama, menunjukkan betapa kita tidak bersedia dalam pelbagai perkara.
Berdasarkan carian di internet, ‘heavy-duty roller squeegee’ yang digunakan untuk mengalirkan air keluar dari padang hanya berharga AS$229 atau kira-kira RM1,008 sahaja. Harganya tidaklah terlalu mahal dan pihak berkenaan mungkin boleh berkira-kira untuk membelinya.
Setidak-tidaknya, padang kita tidak lagi dikatakan setaraf bendang atau sawah padi!