Terjebak akibat kecacatan sistem

Iklan
Alia dan Suhaida menjadi mangsa keretakan sistem yang dikatakan berlaku di rumah anak yatim kerajaan yang dipanggil sebagai Rumah Kanak-Kanak. - Gambar hiasan 123RF

SHAH ALAM - Mereka mungkin telah dilahirkan selang 10 tahun dan mungkin tidak pernah bertemu antara satu sama lain.

Namun kehidupan yang dilalui oleh dua wanita ini yang hanya mahu dikenali sebagai Suhaida dan Alia, sebahagian besarnya mempunyai persamaan - kedua-duanya yatim piatu, ditinggalkan dan diinstitusikan.

Iklan
Iklan

Kedua-duanya juga tidak memiliki kewarganegaraan tetapi nasib Alia tidak seperti Suhaida yang mempunyai kehidupan normal.

Alia adalah mangsa keretakan sistem yang dikatakan berlaku di rumah anak yatim kerajaan yang dipanggil secara rasmi sebagai Rumah Kanak-Kanak.

Iklan

Tanpa disedari, Alia mendapati dirinya terlibat dalam lembah pelacuran yang tidak dapat dielakkannya.

"Saya terpaksa keluar dari Rumah Kanak-Kanak apabila saya mencapai umur 18 tahun. Ketika itu, saya menyedari bahawa saya tidak mendapat kad pengenalan (IC) saya.

Iklan

"Pada mulanya, pegawai di sana tidak menerimanya (permohonan kad pengenalan) tetapi selepas itu menyatakan terlupa untuk memohon kad pengenalan saya,” kata wanita itu yang kini berusia 34 tahun dalam loghat Melayu utara yang pekat.

Tanpa menyembunyikan apa-apa, Alia bercerita bahawa dia pada asalnya adalah bayi yang ditinggalkan, dibuang di sebuah masjid di sebuah negeri di utara.

"Mereka (pegawai kerajaan) katakan sukar untuk meneruskan permohonan IC saya kerana saya tidak mempunyai sijil kelahiran.

"Dan kerana saya sudah berumur 18 tahun, institusi itu tidak lagi terikat secara sah untuk membantu saya. Jadi, saya diberitahu bahawa mereka tidak berdaya untuk melakukan apa-apa,” ujarnya.

Bagi yang tidak mengetahui, Malaysia hanya mempunyai 15 rumah kanak-kanak yang kesemuanya diuruskan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat di bawah bidang kuasa Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.Ia ditubuhkan di bawah Seksyen 54 Akta Kanak-Kanak 2001.

Ketidakupayaannya untuk membantu Alia adalah berbalik kepada fakta bahawa akta yang sama mentakrifkan kanak-kanak sebagai seseorang yang berada di bawah umur 18 tahun.

Apabila kanak-kanak di rumah berkenaan telah mencapai umur 18 tahun, mereka dibebaskan dari penjagaan dan memasuki ke alam ‘bebas’, pada kebiasaannya mempunyai mereka kawalan yang sedikit untuk menjaga diri mereka masing-masing.

Meninggalkan institusi

Apabila tiba saat yang tidak dapat dielakkan, Alia tidak mempunyai pilihan selain meninggalkan institusi itu.

"Saya menyelinap masuk dan tidur di masjid pada malam pertama saya meninggalkan institusi itu. Saya menangis sendiri sehingga tertidur,” ujarnya.

Akhirnya, seorang lelaki mendekati Alia dan mendakwa boleh membantu mendapatkan kad pengenalannya.

"Pada mulanya, saya berasa ragu-ragu. Tetapi, dia menamakan nama-nama yang saya tahu, orang dari institusi itu. Jadi, saya mempercayainya dan memutuskan untuk mengikutinya. Saya bodoh,” katanya.

Lelaki itu membawanya ke sebuah hotel murah, menempah bilik dan menyuruhnya tinggal di situ dan berjanji akan melawatnya setiap hari dan membawa borang permohonan IC.

Dengan penuh harapan, Alia mengisi setiap borang yang dibawa oleh lelaki itu untuknya. Dan dengan setiap borang yang dia isi, simpanannya semakin berkurangan.

"Apabila saya tidak lagi mempunyai wang untuk membayar, saya mula meminta kemas kini kepadanya. Dia marah saya kerana tidak sabar,” katanya.

"Beberapa hari selepas itu, dia membawa beberapa lelaki yang kelihatan menakutkan bersamanya. Dia berkata saya perlu pergi bersama mereka kerana perlu bayar balik hutang saya kepadanya. Untuk bilik hotel dan makanan.

"Saya takut tetapi saya tidak mempunyai pilihan. Jadi, saya pergi dengan lelaki itu. Itulah kali terakhir saya melihatnya. IC saya? Saya tidak pernah mendapatnya,” ujar Alia.

Kemudian pada malam yang sama, Alia mengetahui bahawa dia telah dijual kepada kumpulan pelacuran dan terpaksa memberi perkhidmatan kepada pelanggan pertamanya.

Empat bulan bekerja dan Alia hamil. Dia cuba merahsiakannya, tetapi tidak lama.

Pada lima bulan kehamilan, sindiket pelacuran mengetahuinya dan mengarahkan Alia menggugurkan kandungan.

"Saya menentang tetapi mereka memberi saya ubat. Apabila saya tersedar, saya melihat seorang jururawat memasukkan serpihan kecil anggota badan yang dipotong-potong ke dalam beg plastik,” katanya.

Alia berkata, dia cuba melarikan diri sekali tetapi berjaya ditangkap.

"Bos saya berkata adalah sia-sia untuk saya melarikan diri kepada pihak berkuasa. Dia kata dia ada kawan di peringkat atas,” cerita Alia lagi.

Tetapi satu contoh mesti ditunjukkan. Amaran telah diberikan. Salah satu kuku kakinya telah dicabut.

Alia tidak menjelaskan kenapa dia mahu bercerita sekarang. Empat tahun lalu - ketika dia pertama kali bertemu dengan wartawan - dia bersumpah akan membawa ceritanya ke kuburnya.

"Saya hanya mahu orang di luar sana tahu kisah saya supaya tiada anak yatim piatu yang perlu berjalan di laluan yang sama seperti saya,” kata Alia.

Seperti Alia, Suhaida juga meninggalkan rumah kanak-kanak dengan keadaan tanpa memiliki kewarganegaraan.

Sama seperti Alia, Suhaida juga didekati dan ditipu oleh mereka yang menghulurkan bantuan kepadanya. Tetapi gadis berusia 24 tahun itu agak bernasib baik.

Ini kerana seorang pengedar dadah dan penyeludup manusia yang mengambil Suhaida selepas wang simpanannya disedut oleh seorang lelaki telah bersikap baik kepadanya - malah memberikannya elaun.

"Dia tidak pernah menyentuh saya. Walaupun dia mengakui bahawa dia pada mulanya mahu menjual saya, tetapi dia tidak pernah melakukannya,” katanya.

"Dia menganggap saya sebagai saudaranya malah menawarkan untuk saya ‘hidup baharu’. Dia berkata bahawa dia tahu orang yang boleh melakukannya. Nama baru, identiti baru, tempat lahir baru.

"Tetapi saya menolak. Saya tidak mahu IC palsu. Saya mahu yang sebenar. Saya mahu kad saya sendiri, bebas daripada bebanan.”

Akhirnya lelaki itu menjauhkan diri daripada Suhaida.

Rumah transit

Suhaida bernasib baik. Entah bagaimana, dia mendapat maklumat tentang rumah transit di Kuala Lumpur untuk anak-anak yatim yang sudah berumur yang tidak mempunyai tempat lain untuk pergi.

Rumah transit itu diuruskan oleh sebuah badan bukan berasaskan keuntungan, Yayasan J’keb yang diasaskan oleh seorang anak yatim, Allahyarham Che Rozi Azrul Che Aziz yang - seperti dia - pernah tinggal di sebuah institusi kerajaan.

J’keb ditukar nama kepada Youth Empowerment Foundation (YEF) Malaysia pada tahun lepas selepas kematian Che Rozi Azrul.

Semasa berada di rumah transit - dari 2019 hingga 2020 - itulah Suhaida memulakan misi untuk memohon IC sendiri yang akhirnya dia berjaya mendapatnya pada Februari 2022.

Membesar tanpa IC di rumah kanak-kanak bermakna Suhaida telah tercicir daripada pendidikan formal.

Beberapa bulan selepas kematian Che Rozi Azrul, Suhaida keluar dari rumah transit untuk memberi laluan kepada anak-anak yatim lain yang ingin mencari perlindungan di sana.

Suhaida menetap di Johor Bahru. Memburu pekerjaan adalah sukar, lebih-lebih lagi kerana fakta bahawa pada masa itu, dia tidak mempunyai IC.

"Ramai yang menyangka bahawa saya adalah pendatang tanpa izin. Saya juga telah ditendang daripada sesi temu duga kerja berkumpulan sebaik sahaja saya menjelaskan keadaan saya,” katanya.

Bagaimanapun, kini Suhaida akhirnya memegang IC sendiri, dan dia optimis boleh mengubah kehidupannya.

*Wartawan ini ialah penerima Geran Kisah Kewartawanan Penyiasatan Internews Europe yang ditaja oleh Suruhanjaya Eropah. Artikel ini adalah sebahagian daripada projek Suara Komuniti Internews – Suara Masyarakat