[VIDEO] Nahas hari jadi, tiga sahabat maut

Iklan
Keadaan kereta jenis Volkswagen dinaiki mangsa dalam nahas membabitkan sebuah lori hingga mengorbankan tiga lelaki di Teluk Iantan pada malam Ahad.

TELUK INTAN - Tiga rakan dalam perjalanan menyambut hari jadi maut selepas kereta dinaiki mereka bertembung dengan lori tangki di Kilometer 7 Jalan Maharalela-Teluk Intan di sini pada Ahad.

Dalam kejadian sekitar jam 9.30 malam itu, S Srinivasa Rao, 19, maut di tempat kejadian manakala M Phooveandra, 26, dan KC Thinakaran, 19, meninggal dunia semasa mendapatkan rawatan di Hospital Teluk Intan.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, ketika kejadian ketiga-tiga mangsa dalam perjalanan ke Teluk Intan bagi menyambut hari jadi Thinakaran bersama dua lagi lelaki menaiki kereta jenis Volkswagen.

Menurutnya, dua lagi mangsa masing-masing berusia 26 tahun merupakan pemandu kereta manakala penumpang belakang berusia 19 tahun parah dalam kejadian itu.

Iklan

"Siasatan awal mendapati, kereta yang datang dari arah Hutan Melintang menuju ke Teluk Intan itu telah hilang kawalan sebelum terbabas masuk ke laluan bertentangan.

"Keadaan itu mengakibatkan lori tangki dipandu lelaki berusia 48 tahun tidak sempat mengelak dan berlanggar.

Iklan

"Akibat pelanggaran itu, tiga lelaki yang merupakan penumpang kereta meninggal dunia sementara dua lagi parah, pemandu lori bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya.

Beliau berkata, kejadian telah mengakibatkan kereta mangsa rosak teruk di bahagian hadapan.

Katanya, setakat ini tiada saksi bebas dapat dikesan yang dapat membantu siasatan polis berhubung kejadian itu.

"Siasatan lanjut masih dijalankan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.