Johor benar ibadah korban di surau, masjid

Iklan
Mohd Fared (tengah) bersama pimpinan MAINJ menunjukkan ketetapan baharu ibadah korban bagi Aidiladha tahun ini.

JOHOR BAHRU - Kerajaan Johor membenarkan pelaksanaan ibadah korban bagi sambutan Hari Raya Aidiladha pada tahun ini dilakukan di masjid atau surau.

Exco Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor, Mohd Fared Mohd Khalid berkata, bagaimanapun pelaksanaan aktiviti di kedua-dua rumah ibadat itu tetap tertakluk kepada beberapa peraturan ditetapkan.

Iklan
Iklan

"Bagi aktiviti ibadah korban sempena Hari Raya Aidiladha bagi tahun 1443 Hijrah, memutuskan ia dibenarkan dilakukan di kawasan masjid dan surau tetapi harus mempunyai ruang penyembelihan yang khusus.

"Masjid dan surau ini juga perlu mendapatkan kelulusan dengan kebenaran pejabat kadi dan pejabat perkhidmatan veterinar daerah,” katanya pada sidang media di Pusat Islam Iskandar di sini, pada Isnin.

Iklan

Tahun lalu, pelaksanaan aktiviti korban di Johor hanya akan dilaksanakan di rumah sembelihan berdaftar dengan pejabat perkhidmatan veterinar daerah.

Perkara itu berikutan Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) telah diperkenankan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar untuk memutuskan pelaksanaan korban di masjid dan surau seluruh negeri ini adalah tidak dibenarkan.

Iklan

Mohd Fared berkata, sekiranya masjid dan surau tiada ruang atau kelengkapan berkenaan maka ia hanya dibenarkan untuk aktiviti melapah, membungkus dan edaran daging sahaja.

Dalam pada itu, beliau berkata, pelaksanaan ibadah korban di rumah penyembelihan telah berdaftar juga turut dibenarkan yang mana akan melibatkan sebanyak 153 pusat penyembelihan di seluruh negeri.

"Setakat ini, kita mempunyai maklumat terdapat 68 masjid dan 64 surau di seluruh negeri yang telah memiliki kebenaran melakukan aktiviti korban.

"Bagi mereka yang mahu melakukan ibadah korban ini di kawasan sendiri, mereka masih boleh memohon dengan pejabat kadi dan veterinar, bagaimanapun, ia tertakluk kepada penilaian kedua-dua pihak tersebut,” katanya.