PERENANG kebangsaan, Muhammad Nur Syaiful Zulkafli mengekalkan pingat gangsa acara 50 meter (m) gaya bebas lelaki S5 (kecacatan fizikal), pada Kejohanan Renang Para Dunia 2022 di Madeira, Portugal, semalam.
Atlet berusia 27 tahun yang mengulangi pencapaian edisi 2019 di London, United Kindgdom, mencatatkan 33.81 saat (s) dalam kejohanan berlangsung di Kompleks Renang Olimpik Penteada.
Iklan
Iklan
Perenang Itali Francesco Bocciardo, menampilkan kuakan bergaya apabila meraih emas dengan catatan masa 33.11s, manakala Samuel Da Silva De Oliveira dari Brazil pula membawa pulang pingat perak selepas merekodkan masa 33.28s.
Sementara itu, seorang lagi wakil negara, Zy Kher Lee menamatkan saingan di tempat ketujuh bagi acara 100m kuak dada lelaki SB4 (kecacatan fizikal).
Juara Sukan Para Remaja Asia 2021 di Bahrain itu melakukan catatan 2 minit 1.89s.
Kejohanan selama seminggu itu akan berakhir 18 Jun ini. - Bernama