Nelayan ditemukan meninggal dunia dalam bot

Iklan
Wahab Salleh, 77, ditemukan terbaring dalam bot gentian kaca miliknya pada jarak tiga batu nautika dari perairan Kuala Kemaman, di sini.

KEMAMAN - Tanda tanya seorang anak setelah bapanya tidak pulang ke rumah seharian selepas turun ke laut terjawab apabila nelayan berkenaan ditemukan meninggal dunia di dalam bot pada malam Ahad.

Mangsa merupakan warga emas, Wahab Salleh, 77, ditemukan terbaring dalam bot gentian kaca miliknya pada jarak tiga batu nautika dari perairan Kuala Kemaman, di sini.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan berkata, mayat mangsa ditemukan oleh anak lelakinya sekitar jam 8 malam.

"Anak mangsa risau kerana mangsa tidak pulang sehari suntuk selepas keluar rumah sekitar jam 5 pagi.

Iklan

"Bimbang dengan keselamatan mangsa, salah seorang anak lelakinya mencari mangsa di kawasan jeti sebelum menemukan mangsa tidak sedarkan diri dalam bot yang dinaikinya," katanya ketika dihubungi pada Isnin.

Menurut Hanyan, ketika ditemui, mangsa dipercayai telah meninggal dunia antara 10 hingga 12 jam dan kes berkenaan diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).

Iklan

Beliau berkata, mayat telah dibawa ke Hospital Kemaman dan dalam proses untuk dituntut ahli keluarga.

"Siasatan terhadap mayat mangsa mendapati tiada sebarang unsur jenayah dan ujian saringan Covid-19 juga negatif.

"Berdasarkan latar belakang kesihatan, mangsa dikenal pasti mempunyai sejarah penyakit jantung dan dipercayai meninggal dunia akibat serangan jantung," katanya.