SEREMBAN - Seorang wanita warga emas di Rumah Pangsa Senawang di sini bergelut dengan derita kaki membesar sejak 10 tahun lalu.
Apa yang membimbangkan Serpiah Saad, 75, apabila kaki kirinya kini membesar tiga kali ganda daripada kaki kanannya menyebabkan dia sukar bergerak dan tidak boleh berdiri lama.
Menurutnya, keadaan kakinya jadi begitu dipercayai berpunca daripada kecuaian pembedahan kanser rahim yang dilakukan di sebuah hospital di sini 10 tahun lalu.
"Selepas sebulan keluar daripada hospital kaki saya jadi membengkak dan makin membesar, cuma tidaklah seteruk sekarang.
"Pada bulan April lalu kanser saya merebak semula menyebabkan kaki kiri makin membesar dan kini saya terpaksa bergantung sepenuhnya dengan ubat tahan sakit," katanya ketika ditemui menerima kunjungan daripada Persatuan Cakna Taman Rasa Sayang(PCRS) di rumahnya pada Isnin.
Jelasnya, tidak mampu menanggung rasa sakit jika tidak makan ubat berkenaan dan perlu menyapu kakinya dengan krim khas bagi mengurangkan rasa gatal.
Meskipun doktor memberitahu tidak pasti sehingga bila Serpiah perlu menanggung derita itu, namun dia masih meneruskan rawatan susulan di hospital setiap bulan.
"Sebenarnya dah pelbagai ikhtiar yang saya lakukan termasuk berubat cara kampung sehingga ke Johor, tapi kaki saya tetap begini.
"Duit pun dah banyak habis untuk berubat. Tapi jika ada sesiapa yang nak tawarkan rawatan alternatif percuma buat saya, saya sangat mahu," katanya.
Serpiah berkata, kedua-dua buah pinggangnya juga kini telah rosak.
Katanya, bergantung hidup dengan bantuan bulanan RM500 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat dan RM250 daripada Baitulmal selain dibantu tiga anaknya.
"Cucu perempuan dan suaminya yang membantu uruskan saya di rumah dan anak-anak pun jika saya sakit teruk mereka akan datang mengambil saya.
"Ini pun baru seminggu saya boleh boleh berdiri dan berjalan sikit-sikit selepas sebulan terlantar dan itu pun perlu berpaut pada tongkat," katanya.
Apa yang menjadi harapan Serpiah ketika ini untuk dapat kembali berjalan sekurang-kurangnya dapat bergerak ke tandas dan menunaikan solat berdiri.
Menurutnya, disebabkan sukar untuk bergerak dia perlu memakai lampin pakai buang dan perlu memperuntukkan hampir RM200 setiap bulan.
Sementara itu Penaung PCRS, Zulkifli Muhamed berkata, warga emas berkenaan merupakan kategori asnaf dan ahli persatuan PCRS.
"Lima tahun lalu kita ada santuni makcik ini, tapi sekarang kita tengok keadaan kakinya makin membesar.
"Jika ada sesiapa yang berhasrat bantu tawarkan rawatan alternatif, sangat dialu-alukan dan boleh hubungi saya di talian 012-3605143," katanya.