KULAI - Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia (Angkasa) menyasarkan 100 koperasi terlibat dalam industri ternakan ayam bagi membolehkan pengeluaran sebanyak 30 juta ekor ayam daging dalam tempoh setahun.
Presidennya, Datuk Dr Abdul Fattah Abdullah berkata, pembabitan koperasi dalam industri agromakanan itu dapat meningkatkan skala penternakan serta menambah jumlah pengeluaran bekalan ayam di pasaran.
Katanya, Angkasa akan membantu ahlinya membina 100 ekor reban ayam dalam masa terdekat bagi memulakan projek ternakan secara ladang kontrak.
"Setakat ini, sudah ada 19 koperasi yang mengusahakan penternakan ayam secara kecil-kecilan dengan pengeluaran kira-kira 5,000 ekor ayam daging sebulan.
"Bagaimanapun, seruan kerajaan supaya koperasi menceburi bidang ternakan ayam, kita akan sahut dan lakukannya secara besar-besaran dengan membantu mereka tingkatkan kapasiti sehingga mampu mengeluarkan 50,000 ekor ayam daging sebulan.
"Kita juga akan mengerakkan usaha membina 100 lagi reban yang akan diusahakan oleh 100 koperasi sama ada di negeri ini atau negeri lain," katanya dalam sidang akhbar selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Angkasa Koperasi Negeri Johor dan Syarikat Global Mars Sdn Bhd bagi membuka ruang kerjasama kepada koperasi untuk pembangunan perniagaan industri ayam halal.
Hadir sama, Pengerusi Aangkasa Johor, Sazali Abd Hamid dan Ketua Pegawai Eksekutif Mars Global Sdn Bhd, Mohd Norulhizam Mohd Ramli.
Menurut Abdul Fattah, Angkasa akan memohon kepada kerajaan Johor untuk memperuntukkan 25 lot tanah yang dikhaskan untuk mengusahakan Bank Makanan negeri bagi diusahakan penternakan ayam daging berskala besa
"Bagi koperasi yang mempunyai tanah, proses pembinaan reban akan segera dimulakan.
"Kita memerlukan antara 2.83 hingga 4.04 hektar tanah setiap lot bagi membina reban ayam berkapasiti tinggi itu supaya penternakan ayam skala besar ini diusahakan koperasi dapat dimulakan," katanya.
Pada 23 Mei lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, mengesyorkan syarikat berkaitan kerajaan (GLC), agensi kerajaan, pertubuhan peladang, dan koperasi terbabit dalam penternakan ayam bagi mengurangkan kebergantungan kepada syarikat-syarikat pengeluaran ayam besar.
Pada 31 Mei lalu pula, kerajaan dilaporkan memperuntukkan dana sebanyak RM500 juta di bawah ‘Skim Agro Food Facilities’ bagi menggalakkan pengeluaran bahan makanan yang diuruskan koperasi berasaskan agromakanan.