SHAH ALAM - Seorang wanita bersama dua anak kecil yang dikesan meminta sedekah di perkarangan masjid selepas solat Jumaat merupakan penerima bantuan tetap daripada Lembaga Zakat Selangor (LZS) sejak 2015 lagi.
LZS menerusi kemas kini di Facebooknya berkata, kegiatan keluarga itu terbongkar selepas Skuad Saidina Umar (SSU) terserempak dengan keluarga terbabit.
Menurut kenyataan itu, pihak LZS kemudian telah ke rumah keluarga berkenaan bagi melihat sendiri situasi sebenar kehidupan mereka.
"Ketika kunjungan ke rumahnya, kami dapati suaminya tidak bekerja akibat masalah kesihatan sementara tiga anaknya masih bersekolah.
"Kebiasaannya dua daripada anak ini akan mengikut ibunya meminta sedekah pada hari Jumaat di masjid manakala seorang lagi anak tinggal di rumah untuk menjaga ayahnya," menurut kenyataan di Facebook LZS pada Isnin.
Tambah kenyataan itu, keluarga terbabit merupakan asnaf miskin yang menerima bantuan kewangan dan makanan secara bulanan serta bantuan Aidilfitri dan pendidikan secara tahunan selain turut dibantu menyelesaikan tunggakan hutang.
Jelas kenyataan itu, berdasarkan bantuan yang diberikan oleh LZS, keluarga itu dilihat sudah menerima bantuan yang mencukupi.
"Sebelum ini, mereka pernah ditegur kerana sikap suka meminta sedekah seperti ini dengan alasan yang sama. Keluarga ini juga ada kisah yang tidak dapat kami ceritakan pada umum.
"Cukuplah untuk masyarakat mengetahui bahawa LZS sentiasa mengambil berat keperluan mustahiq," kata kenyataan itu.
LZS menjelaskan, isu meminta sedekah bukan di bawah bidang kuasa agensi itu namun atas tanggungjawab, pihaknya memberikan teguran secara baik bagi mengelak fitnah kepada diri sendiri, keluarga, masyarakat dan agama.
"Jadi kami merayu pada orang awam untuk semak terlebih dahulu sekiranya terjumpa kes sebegini. Dikhuatiri niat baik kita bersedekah menjadi lubuk buat mereka yang suka mengambil kesempatan," katanya.