Bank Dunia kekalkan unjuran pertumbuhan ekonomi Malaysia 5.5 peratus

Iklan
Bank Dunia pada Isnin mengekalkan unjuran pertumbuhan ekonomi Malaysia tahun ini pada 5.5 peratus.

KUALA LUMPUR - Bank Dunia pada Isnin mengekalkan unjuran pertumbuhan ekonomi Malaysia tahun ini pada 5.5 peratus. Pertumbuhan itu didorong terutamanya oleh pemulihan kukuh dalam permintaan penggunaan, kata Bank Dunia dalam satu laporan.

Menurut bank yang berpangkalan di Washington itu, pertumbuhan penggunaan swasta Malaysia dijangka mencecah 8.5 peratus tahun ini iaitu kadar terpantas sejak 2008, lapor Xinhua.

Iklan
Iklan

Pemulihan yang kukuh dalam perbelanjaan isi rumah adalah berasaskan kepada kebimbangan kesihatan awam yang semakin berkurang terhadap beban kes Covid-19, serta sokongan dasar yang berterusan dan penambahbaikan secara beransur-ansur kepada prospek pekerjaan dan pendapatan, tambah laporan itu.

Bank Dunia juga mengunjurkan ekonomi Malaysia akan tumbuh pada 4.5 peratus pada 2023 dan 4.4 peratus pada 2024.

Iklan

Ekonomi Malaysia menguncup sebanyak 5.6 peratus pada 2020 tetapi berdasarkan mandat vaksinasi yang dipercepatkan, dan pengurangan halangan mobiliti, ia meningkat pada 3.1 peratus tahun lepas.

Pemulihan ekonomi negara berterusan tahun ini, tumbuh sebanyak 5 peratus pada suku pertama 2022.

Iklan

Sebahagian besar daripada pertumbuhan itu didorong oleh peningkatan permintaan dalam negeri berikutan penyambungan semula kebanyakan aktiviti ekonomi apabila langkah-langkah sekatan berkaitan pandemik terus dilonggarkan. - Bernama