Harga siling bergerak diperkenal

Iklan
Ismail Sabri - Foto Bernama

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Harga siling bergerak berubah kepada faktor harga input akan diperkenalkan kerajaan.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, langkah itu seiring dengan perancangan bantuan terus bersasar kepada golongan memerlukan seperti yang diumumkan sebelum ini.

Iklan
Iklan

"Hari ini, saya telah mempengerusikan mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi (EAC) yang membincangkan tiga perkara utama berhubung kait dengan sekuriti makanan, memudahkan urusan perniagaan di Malaysia dan menangani tenaga mahir dalam sektor elektrik dan elektronik (E&E)," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Menurutnya, ekosistem agromakanan diperluaskan dengan rantaian bekalan diterajui oleh syarikat pelaburan kerajaan (GLC), syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan agensi terbabit.

Iklan

"Koordinasi ini bagi memastikan kualiti, kuantiti dan pengeluaran hasil ke tahap optimum selain bekalan terjamin.

"Sebagai contoh bekalan dan harga ayam dapat dikawal sekiranya agensi kerajaan yang berkenaan terlibat dalam ekosistem industri penternakan bermula daripada membekal anak ayam, makanan ternakan, pengangkutan, pemasaran dan sebagainya," katanya.

Iklan

Beliau berkata, kerjasama antara kerajaan Persekutuan dan negeri akan dipertingkatkan dalam usaha meningkatkan keluasan tanah bagi kegunaan pertanian sebagai langkah mengurangkan kebergantungan terhadap import makanan.

"Perkara ini akan dibincangkan dengan lebih lanjut dalam mesyuarat dengan menteri besar dan ketua menteri dalam masa terdekat," katanya.

Ismail Sabri berkata, mesyuarat telah membuat keputusan untuk meningkatkan kerjasama awam dan swasta yang memberi fokus terhadap usaha modenisasi serta dan menggalakkan pertanian pintar bagi meningkatkan hasil pertanian.

"Inisiatif ini akan disokong melalui usaha menyatukan tanah ladang, tanah terbiar dan tanah wakaf," katanya.

Ujarnya, hasil pertanian akan dipastikan mempunyai pasaran seperti menggalakkan ladang kontrak di mana peladang dan petani tidak mempunyai masalah untuk memadankan pengeluaran hasil pertanian dengan permintaan pasaran.

"Kerajaan melalui Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan (Pemudah) akan terus berusaha untuk memodenkan peraturan-peraturan berkaitan perniagaan bagi melonjak produktiviti dan daya saing negara.

"Selain itu mesyuarat juga telah bersetuju untuk memperkukuhkan pelaksanaan MyMudah di semua kementerian, agensi Persekutuan, negeri, pihak berkuasa tempatan (PBT) serta persatuan perniagaan," katanya.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, mesyuarat juga bersetuju merancakkan lagi program uji kaji peraturan yang dikelola oleh Unit-Unit MyMudah dengan sasaran penyelesaian isu dalam tempoh 60 hari berbanding dengan enam hingga 12 bulan sebelum ini.

"Temuduga pekerja asing akan dilaksanakan di negeri-negeri berbanding hanya di pusat sehenti (OSC) Kementerian Sumber Manusia (KSM) Putrajaya.

"Kerajaan akan memperkasakan OSC dengan melibatkan semua kementerian dan agensi yang berkaitan proses kemasukan pekerja asing," katanya.

Seterusnya, bagi menangani isu kekurangan tenaga kerja mahir yang serius dalam sektor E&E, Ismail Sabri berkata, kerajaan secara prinsip telah bersetuju untuk melaksanakan 'Program Train & Place' bagi 1,000 jurutera dan 1,000 juruteknik.

Tambahnya, mekanisme pengambilan ekspatriat dan pekerja asing akan diperbaiki dan dipercepatkan.

"Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan KSM akan menyelaras dengan Persatuan Industri Semikonduktor Malaysia (MSIA) untuk segera menangani isu kekurangan tenaga kerja ini.

"Kerajaan komited terhadap kajian yang berdaya maju dan berpotensi untuk dimanfaatkan secara strategik bagi mendepani cabaran global bagi menjamin ekosistem sekuriti makanan lebih inklusif dan menyeluruh demi kesejahteraan Keluarga Malaysia," katanya.