KUALA NERUS - Kerajaan meneruskan projek pembinaan benteng pemecah ombak di pesisiran pantai di daerah ini bagi mengurangkan impak hakisan yang semakin serius di kawasan berkenaan.
Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Dr Ismail Abd Muttalib berkata pesisiran pantai negeri ini sering berhadapan dengan isu bencana seperti hakisan dan ia menjadi fokus di peringkat kementerian dalam merancang pembangunan.
Beliau berkata pembinaan benteng pemecah ombak di Kampung Tengah Mengabang Telipot yang siap pada 2019 memberi impak cukup positif apabila kesan hakisan dapat diminimumkan walaupun fenomena itu masih berlaku.
"Sebanyak lima pemecah ombak dengan kos RM70 juta telah dibina di sini (Kampung Tengah Mengabang Telipot)...melalui tinjauan yang kita buat kepada penduduk setempat dan nelayan, mereka akui kesan hakisan telah berkurangan.
"Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) telah mengenal pasti model terbaik untuk membantu menghalang kesan ombak yang lebih teruk," katanya.
Ismail ditemui pemberita selepas tinjauan mesra di kawasan hakisan pantai dan sesi taklimat oleh JPS negeri di Kampung Tengah Mengabang Telipot di sini, petang tadi.
Menurut beliau, projek seterusnya akan melibatkan pembinaan 16 benteng pemecah ombak di sepanjang lebih enam kilometer di pantai Pengkalan Maras hingga Pagar Besi di sini dianggarkan melibatkan kos RM90 juta.
"Projek ini akan dilaksanakan dalam tempoh terdekat (dalam tahun ini) dan dijangka siap dalam tempoh tiga tahun... KASA dan JPS beritahu model ini (benteng pemecah ombak) antara yang terbaik untuk menahan ombak," katanya.
Beliau berkata projek berkenaan diharapkan agar dapat memberikan keselesaan buat penduduk dan nelayan yang tinggal di sekitar pantai. - Bernama