PELARI menara negara, Soh Wai Ching sekali lagi mengharumkan nama Malaysia apabila menjuarai pertandingan Fight For Air Climb NYC di Penn 1 Plaza, New York, Amerika Syarikat pada Sabtu.
Kehebatan pelari berusia 27 tahun itu ternyata sukar digugat apabila menguasai perlumbaan mendaki 55 tingkat bangunan dengan 1,210 anak tangga tersebut menerusi catatan rekod baharu 5 minit 29 saat, mengatasi rekod lama berusia sembilan tahun 5:53 milik Tim Donahue.
Sementara itu, David Roeske menduduki tangga kedua dengan masa 6:46 diikuti Stephen Marsalese 7:19 manakala Maria Elisa Lopes Pimentel dari Mexico memenangi kategori wanita dengan masa 7:20.
"Saya hadir di New York lapan hari lalu dengan misi untuk menyertai dua pertandingan, Tunnel to Towers Climb NYC di One World Trade Center dan Fight For Air Climb NYC di Penn 1 Plaza.
"Misi saya berjaya dipenuhi dengan memenangi kedua-dua pertandingan selain rekod baharu lapangan pada pertandingan kelmarin. Setakat ini, saya menang lapan daripada sembilan pertandingan tahun ini dengan satu penamat tangga kedua,” kata pelari dari Selayang tersebut.
Untuk rekod, Wai Ching merampas ranking nombor satu dunia genap sebulan lalu daripada seteru utamanya Piotr Lobodzinski dari Poland, namun dia tewas buat kali pertama sejak Disember 2019 pada Kejohanan Larian Menara Eropah di Warsaw sebelum ini.
Kejayaannya menghuni ranking nombor satu dunia mendapat perhatian Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang mengutuskan ucapan tahniah di laman sosial beberapa hari lalu.
Bagaimanapun Wai Ching kehilangan penaja utama pada Februari lalu menyaksikan dia terpaksa mengehadkan penyertaan pada pertandingan antarabangsa.
"Sepatutnya saya bertanding di Perth, Australia bagi pertandingan Step Up For MSWA di Central Park pada 19 Jun ini tetapi disebabkan kekurangan dana, saya tidak mampu menyertainya. Tiket penerbangan agak mahal untuk ke sana.
"Amat gembira dengan kemenangan berganda di New York dan mengibarkan Jalur Gemilang megah dua kali dalam tempoh seminggu. Dua kemenangan berturut-turut setakat ini sejak 5 Jun lalu,” katanya yang berpangkalan di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE).