SEPAK mula berdepan Bangladesh di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada Selasa akan menjadi penentu sama ada Harimau Malaya mampu merealisasikan impian mara ke pentas Piala Asia 2023 atau sekali lagi dipalit kecewa.
Satu kemenangan dan satu kekalahan dalam dua aksi peringkat Kumpulan E sebelum ini menyaksikan Harimau Malaya tiada jalan lain, kecuali menang ke atas Bangladesh, seboleh-bolehnya dengan margin jaringan yang besar.
Jika itu berlaku, tiket Piala Asia 2023 pasti berada dalam genggaman, sekali gus Harimau Malaya mengakhiri penantian 42 tahun mara ke kejohanan tertinggi Asia itu secara merit selepas kali terakhir pada tahun 1980.
Untuk rekod, Harimau Malaya pernah beraksi di pentas Piala Asia pada tahun 2007.
Namun, ketika itu Malaysia menjadi tuan rumah bersama tiga lagi negara Asia Tenggara yang lain - Indonesia, Thailand dan Vietnam.
Sejak edisi 2007 itu dan kini sudah 15 tahun berlalu, Harimau Malaya terus kempunan beraksi pada pusingan akhir Piala Asia. Beberapa episod kegagalan dalam saingan kelayakan menyebabkan Harimau Malaya terpaksa berputih mata!
Namun, episod kegagalan itu mampu dipadam, bahkan Harimau Malaya mampu bangkit daripada kekecewaan lalu. Malah, ini peluang terbaik Harimau Malaya mengakhiri penantian selama berbelas tahun.
Lupakan kekalahan 1-2 kepada Bahrain.
Sebaliknya, jadikan kemenangan 3-1 ke atas Turkmenistan sebagai pembakar semangat.
Alang-alang menyeluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan.
Atas kertas, pintu ke Piala Asia 2023 belum tertutup.
Beberapa kemungkinan boleh berlaku. Jika gagal menjuarai peringkat kumpulan yang menjamin slot automatik ke Piala Asia tahun depan, Harimau Malaya masih lagi ada peluang.
Secara realistik, naib juara kumpulan sudah memadai buat Harimau Malaya untuk menempah tiket Piala Asia 2023.
Tetapi dengan syarat, skuad kendalian Kim Pan-gon itu muncul lima pasukan terbaik naib juara kumpulan.
Ini bermakna Harimau Malaya harus mengelak berada di tangga tercorot selaku naib juara dalam enam kumpulan.
Ketika ini, Harimau Malaya di tangga kelima - satu anak tangga di atas Indonesia.
Ayuh Harimau Malaya! Buktikan inilah masa dan ketikanya Harimau Malaya benar-benar 'mengaum' di tanah air sendiri.