Musang king, duri hitam jadi buruan

Iklan
Mohd Hilmi menunjukkan durian duri hitam yang dijual di gerainya di Anjung Indah, Balik Pulau.

GEORGETOWN - Durian musang king dan duri hitam Balik Pulau menjadi buruan ramai terutamanya penggemar raja buah pada musim kali ini.

Meskipun dijual dengan harga 'kayangan' berbanding durian jenis yang lain, namun tinjauan mendapati musang king dan duri hitam antara yang terlaris di jual di Anjung Indah, Balik Pulau.

Iklan
Iklan

Pemilik gerai #YB Durian Balik Pulau, Mohd Hilmi Che Ros berkata, durian musang king dan duri hitam Balik Pulau mempunyai keistimewaan serta rasa tersendiri berbeza dengan tempat lain.

Beliau berkata, kesemua durian segar yang dijual di gerainya itu diambil terus dari dusun Balik Pulau seluas 35 ekar yang diusahakan bersama rakannya, Ahmad Latif sejak beberapa tahun lalu.

Durian Balik Pulau mempunyai keistimewaan tersendiri yang boleh dilihat pada bentuk, warna dan rasanya.

Iklan

"Tidak keterlaluan saya katakan durian musang dan duri hitam di sini mempunyai rasa yang berbeza dengan negeri lain, sebab pokok di sini ada yang berusia lebih 20 tahun.

"Bukan itu sahaja, warna isinya juga lebih menarik selain bentuk juga tak sama," katanya ketika ditemui Sinar Harian di sini, baru-baru ini.

Iklan

Mohd Hilmi berkata, meskipun kebanyakkan durian jenis premium yang dijual di gerainya namun ia boleh dinikmati dengan harga yang berpatutan oleh penggemarnya.

Katanya, selain dapat merasai keenakan durian di sini, pengunjung juga boleh menikmati raja buah itu ditemani pemandangan dan panorama indah dari atas bukit Balik Pulau.

Sementara itu, Ahmad berkata lebih 1,000 tan buah durian telah dijual sejak mereka berniaga di kawasan Anjung Indah bermula Mei lalu.

Pengunjung dilihat sedang menikmati durian Balik Pulau.

Beliau yang telah berniaga lebih 14 tahun di situ mengakui musim kali ini kembali meriah selepas dua tahun kawasan itu suram berikutan pandemik Covid-19 sebelum ini.

Jelasnya, selain musang king dan duri hitam orang ramai juga boleh mendapatkan durian pelbagai jenis lain seperti horlor, ang hoi, ochee, udang merah, kacang hijau,emas dan banyak lagi.

"Sambutan pesta durian kali ini amat luar biasa susulan negara yang sudah memasuki fasa peralihan ke endemik.

"Tambahan pula musim cuti persekolahan baru-baru ini, setiap hujung minggu pasti penuh dengan pengunjung serta penggemar durian yang datang dari seluruh negara dan pelancong asing," katanya.