9 GRO warga asing antara ditahan di pusat hiburan tanpa lesen

Iklan
Ramli (kiri) menyampaikan Sijil Penghargaan Ketua Polis Pahang kepada penerima sempena Majlis Perhimpunan Bulanan di IPK Pahang di Kuantan pada Selasa.

KUANTAN - Seramai 11 individu terdiri pekerja premis dan wanita pelayan pelanggan (GRO) warga asing ditahan hasil serbuan ke atas dua pusat hiburan di sini, Ahad lalu.

Ketua Polis Pahang, Datuk Ramli Mohamed Yoosuf berkata, daripada jumlah yang ditahan dua melibatkan penjaga premis dan sembilan wanita GRO berusia 21 hingga 39 tahun.

Iklan
Iklan

Menurutnya, hasil serbuan melalui Ops Noda itu, sebanyak lima premis diperiksa dan dua dikenakan tindakan.

"Dalam operasi itu, seramai 153 individu telah diperiksa dan 11 daripadanya telah ditahan.

Iklan

"Pihak polis telah mengesan beberapa kesalahan dilakukan termasuk pusat hiburan beroperasi tanpa lesen, beroperasi lebih masa, menggajikan pekerja warga asing tanpa izin dan menyalah guna pas lawatan sosial.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 55B dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen, Seksyen 39 (b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963, Seksyen 4 (1) (b) dan Kaedah 30 Enakmen Hiburan Negeri Pahang 1993," katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Perhimpunan Bulanan Ketua Polis Pahang di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang di sini pada Selasa.

Ramli berkata, pihaknya akan terus dan meningkatkan pemantauan operasi pusat hiburan di negeri ini bagi membendung kegiatan pengedaran dan penyalahgunaan dadah di dalam premis tersebut.

Beliau berkata, pemantauan turut dilakukan terhadap kesalahan melibatkan penggunaan pekerja warga asing tanpa dokumen perjalanan dan permit kerja sah.

"Pihak polis memberi amaran kepada pengusaha dan pelanggan pusat hiburan di negeri ini supaya tidak melibatkan diri dengan dadah atau menjadikan premis tersebut sebagai pusat dadah.

"Pada masa sama mereka juga perlu mematuhi peraturan dan syarat ditetapkan bagi mengelak dikenakan tindakan," katanya.

Sementara itu dalam perkembangan lain, Ramli berkata, kes jenayah komersial terutama bagi kes-kes penipuan di negeri ini masih berlaku walaupun peringatan dan amaran telah diberikan.

"Kita dapati ramai yang terus menjadi mangsa melibatkan jumlah kerugian besar terpaksa ditanggung.

"Kes penipuan juga menunjukkan peningkatan tahun ini dan wujud modus operandi (MO) baharu melibatkan tawaran kerja sambilan," katanya.

Menurutnya, melalui MO yang menyasarkan golongan muda dan pencari kerja itu, mangsa ditawarkan tawaran kerja sambilan dengan pulangan lumayan.

"Bagi meyakinkan mangsa terhadap pekerjaan itu, mangsa yang berjaya menyelesaikan tugasan diberikan akan menerima bayaran sebagaimana dijanjikan pada tugasan pertama dan kedua.

"Kebanyakan kes, mangsa mendakwa tidak menerima bayaran untuk tugasan seterusnya dengan nilai yang lebih besar," katanya.