Kes HFMD menurun 22.9 peratus

Iklan
Kes HFMD pada minggu epidemiologi 23/2022 adalah sebanyak 13,080 dan ia menunjukkan penurunan sebanyak 22.9 peratus. - Gambar hiasan

SHAH ALAM - Kes penyakit kaki, tangan dan mulut (HFMD) pada minggu epidemiologi (ME) 23/2022 adalah sebanyak 13,080 dan ia menunjukkan penurunan sebanyak 22.9 peratus berbanding ME 22/2022 iaitu 16,954 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ia menjadikan jumlah keseluruhan kes tersebut sehingga 11 Jun adalah sebanyak 95,924 kes dan meningkat sebanyak 36 kali ganda berbanding tempoh sama pada tahun 2021 yang hanya mencatatkan 2,654 kes.

Iklan
Iklan

Menurutnya, trend kes mingguan HFMD menunjukkan penurunan sejak ME 22/2022 selepas bilangan kes mencapai kemuncak tertinggi pada ME 21/2022.

"Selangor menyumbang jumlah kes tertinggi berbanding negeri lain iaitu 26,799 kes (27.9 peratus) diikuti Kuala Lumpur dan Putrajaya sebanyak 10,739 kes (11.2 peratus).

Iklan

"Perak pula mencatatkan 9,744 kes bersamaan 10.2 peratus, Johor 6,326 kes (6.6 peratus) dan Kelantan 6,153 kes (6.4 peratus), sementara negeri-negeri lain pelaporan kes HFMD sekitar atau kurang daripada 5,500 kes," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Dr Noor Hisham berkata, kes HFMD banyak berlaku dalam kalangan kanak-kanak berumur enam tahun ke bawah iaitu sebanyak 86,230 kes (90peratus), diikuti kumpulan umur tujuh hingga 12 tahun seramai 7,878 kes (lapan peratus), manakala selebihnya berumur lebih 12 tahun iaitu seramai 1,816 kes (dua peratus).

Iklan

Tambah beliau, berdasarkan survelan jenis virus (enterovirus) di Malaysia, tiga virus utama yang menyebabkan penularan penyakit HFMD dalam komuniti pada tahun 2022 adalah Coxsackie A16 (CA16), Coksackie A6 (CA6) dan Enterovirus 71 (EV71).

"Pada tahun 2022, sehingga kini terdapat tiga kes HFMD yang dimasukkan ke wad unit rawatan rapi (ICU).

"Kes pertama dan kes kedua dimasukkan ke ICU kerana mengalami komplikasi radang otak disahkan dijangkiti EV71 dan masih di bawah pemantauan rapi, manakala kes ketiga telahpun sihat dan dibenarkan pulang ke rumah," katanya.

Menurut Dr Noor Hisham, sehingga kini sebanyak 1,882 wabak dilaporkan di Malaysia di mana tiga negeri tertinggi mencatatkan kejadian wabak ialah KL dan Putrajaya iaitu 602 wabak (32 peratus), diikuti Sarawak 265 wabak (14.1 peratus) dan Selangor 233 wabak (12.4 peratus).

"Majoriti lokasi penularan wabak berlaku di taska, tadika dan prasekolah iaitu 1,102 wabak (59 peratus) diikuti oleh rumah persendirian dengan 696 wabak (37 peratus) dan juga pusat jagaan kanak-kanak sebanyak 55 wabak (tiga peratus)," katanya.

Tambah beliau, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah melaksanakan tindakan kawalan dan langkah pencegahan bagi penyakit HFMD di seluruh Malaysia meliputi sejumlah 55,227 premis yang diperiksa.

Katanya, sejumlah 1,125 premis telah ditutup di bawah peruntukan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 manakala 342 premis ditutup secara sukarela.