KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengucapkan takziah kepada seluruh keluarga Tun Arshad Ayub, 93, atas pemergian ahli akademik dan pendidik terbilang itu yang meninggal dunia, awal pagi Selasa.
Beliau berkata, negara kehilangan seorang tokoh yang sangat berjasa dan meninggalkan legasi yang tidak ternilai untuk Keluarga Malaysia.
"Perginya tokoh pejuang pendidikan yang amat besar sumbangannya pada negara. Allahyarham adalah seorang pendidik berpandangan jauh yang memberi impak besar kepada pendidikan negara.
"Legasi Allahyarham khususnya menubuhkan Universiti Teknologi MARA (UiTM) telah melahirkan banyak profesional dan juga usahawan tekno Melayu di negara ini. Kini universiti tersebut telah melahirkan lebih 700,000 siswazah,” katanya dalam hantaran di Facebook.
Ismail Sabri berkata, Allahyarham juga menunjukkan pencapaian luar biasa dalam semua bidang yang diceburi, antaranya turut terlibat merancang agenda pembangunan negara khususnya pada era selepas kemerdekaan negara yang menjadi teras pentadbiran Perdana Menteri kedua, Tun Abdul Razak dalam memacu Dasar Ekonomi Baru (DEB).
Katanya, keazaman, kebijaksanaan dan kerja keras Allahyarham tanpa mengenal erti penat lelah untuk negara serta seluruh Keluarga Malaysia wajar diteladani.
"Saya dan Keluarga Malaysia mengucapkan takziah buat seluruh ahli keluarga Allahyarham. Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat Allah SWT dan ditempatkan bersama-sama roh orang yang beriman dan beramal soleh. Al-Fatihah,” katanya.
Allahyarham sebelum ini dilapor dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) sejak Selasa lepas kerana masalah kesihatan.
Allahyarham meninggalkan seorang isteri Toh Puan Zaleha Mohd Arshad dan tujuh orang anak iaitu lima lelaki dan dua perempuan. - Bernama