Jangan politikan Festival Bon Odori

Iklan
Muhammad Fauzi

GEORGETOWN - Isu larangan umat Islam menghadiri Festival Bon Odori yang akan diadakan di Kompleks Sukan Negara Shah Alam pada 16 Julai ini tidak wajar dipolitikan kerana ia melibatkan isu akidah.

Pesuruhjaya Pas Pulau Pinang, Muhammad Fauzi Yusoff berkata, Islam menghormati kebebasan beragama semua pihak namun sebagai saudara Islam, adalah diwajibkan untuk mengingatkan umat Islam supaya tidak melakukan sesuatu yang bertentangan dengan akidah.

Iklan
Iklan

"Isu ini melibatkan isu akidah dan tidak perlu dipolitikan.

"Sebagai orang Islam, adalah wajib kita mengingatkan sesama kita agar jangan melakukan perkara yang bertentangan dengan akidah," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Iklan

Beliau turut menegaskan bahawa pendirian parti itu adalah senada dengan Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor yang melarang sebarang perayaan berunsur agama lain serta haram bagi umat Islam meraikannya.

"Pas Pulau Pinang menyokong saranan dan garis panduan yang dikeluarkan oleh Mufti Pulau Pinang dan pihak berkuasa agama mengenai hukum menyertai Festival Bon Odori. Orang Islam wajib menghindarinya demi kemaslahatan agama.

Iklan

"Setiap umat Islam perlu hormati keputusan mufti serta pihak berkuasa agama yang mempunyai fakta dan maklumat yang tepat dalam isu ini sebelum menggadaikan prinsip beragama hanya kerana kepentingan agenda politik," katanya.

Sebelum ini, Wan Salim menasihatkan umat Islam supaya sentiasa memelihara kemurnian akidah masing-masing dengan mengelak daripada terlibat dalam festival yang ada kaitan dengan memperingati semangat atau roh nenek moyang.

Katanya, festival seperti itu juga dibimbangi akan membawa kepada syirik.

Menurutnya, di dalam Islam, cara untuk memperingati ahli keluarga adalah dengan mendoakan kesejahteraan roh mereka dan bukannya memuja atau dengan nyanyian.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad sebelum ini menasihatkan umat Islam di negara ini supaya tidak menyertai program Festival Bon Odori yang akan diadakan di Kompleks Sukan Negara Shah Alam pada 16 Julai ini kerana ia mengandungi unsur agama lain.

Idris berkata, kajian Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mendapati program itu mempunyai unsur-unsur keagamaan lain.

Katanya, cara memperingati roh nenek moyang dengan cara menari, memuja roh dan sebagainya tidak digalakkan di dalam Islam.

Festival Bon Odori yang sudah disambut di Jepun sejak 500 tahun lalu menampilkan persembahan tarian dengan dikaitkan bagi menghormati semangat nenek moyang dalam perayaan Buddha Jepun.

Amalan Buddha-Confucian ini berkembang menjadi musim cuti di mana keluarga berkumpul di tempat kelahiran nenek moyang, melawat dan membersihkan kubur mereka.

Walaubagaimanapun, Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif, Yeoh Soon Hin berkata, sambutan Festival Bon Odori Pulau Pinang yang dijadualkan pada 30 Julai ini akan tetap diadakan seperti biasa.

Tambahnya, kerajaan negeri tidak boleh menghalang sesiapa sahaja yang akan menyertai festival tersebut.