Sultan Perak zahir takziah pemergian Arshad Ayub

Iklan
Warkah Perutusan Takziah oleh Sultan Nazrin berikutan pemergian Arshad.

IPOH - Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah menzahirkan ucapan takziah di atas pemergian Tokoh Pendidikan Negara, Tun Dr Arshad Ayub pada Selasa.

Menerusi warkah perutusan takziah kepada isteri Allahyarham Arshad, Toh Puan Zaleha Mohd Arshad, baginda turut menzahirkan rasa sedih atas pemergian bekas Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Malaya itu.

Iklan
Iklan

Sultan Nazrin bertitah, Allahyarham semasa hayatnya berjaya menyuntik imej yang lebih bertenaga kepada Institut Teknologi Mara (ITM) melalui visi dan kecekalan mahu melahirkan angkatan profesional Melayu dan bumiputera.

"Yang Amat Berbahagia Tun Dr Arshad Ayub merupakan seorang towering personality yang amat terkenal di dalam program-program yang melibatkan pendidikan anak Melayu.

Iklan

"Ketokohan yang dimiliki Allahyarham meletakkannya sebagai tokoh yang dihormati, disegani lagi disayangi," titah baginda menerusi warkah yang diedarkan kepada media pada Selasa.

Dalam pada itu, baginda bersama-sama Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim turut mendoakan agar waris, anggota keluarga dan sahabat handai Allahyarham tabah serta reda dengan pemergian itu.

Iklan

Menerusi laporan media, Arshad, 93, disahkan meninggal dunia pada jam 2.06 pagi Selasa.

Berita kematian Allahyarham dimaklumkan oleh keluarganya menerusi kenyataan yang dikeluarkan pada Selasa.

Difahamkan, Allahyarham dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) sejak Selasa lalu akibat masalah kesihatan.

Allahyarham sebelum ini merupakan bekas Pengarah ITM yang kini dikenali sebagai Universiti Teknologi Mara (UiTM) pada tahun 1966 dan beliau dikenali sebagai insan yang bertanggungjawab dalam pembangunan institusi pengajian tinggi awam (IPTA) itu.