Rapid Bus guna justPay bayar tambang

Iklan
Rapid Bus sedang melaksanakan projek perintis dalam pembayaran tambang bas yang menggunakan aplikasi justPay.

GEORGETOWN - Rapid Bus Sdn Bhd (Rapid Bus) akan melaksanakan projek perintis sistem percubaan pembayaran terbuka bagi perkhidmatan bas Rapid Penang dalam menyokong hala tuju aspirasi pendigitalan Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana).

Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Bus, Muhammad Yazurin Sallij berkata, sistem pembayaran terbuka justPay yang digunakan untuk projek perintis itu bakal menyediakan satu alternatif mod pembayaran tambang melalui kaedah pembayaran melalui teknologi kod QR (Quick Response) dan aplikasi e-Wallet.

Iklan
Iklan

Bagaimanapun menurutnya, proses ujian terhad itu hanya dilakukan di dua laluan yang dikenal pasti sebagai laluan ujian untuk sistem percubaan tersebut iaitu laluan 101 (Weld Quay-Teluk Bahang) dan laluan 613 (Penang Sentral-Padang Serai).

"Proses ujian ini dijangka selesai pada Ogos ini. Ujikaji prototaip aplikasi justPay ini telah dijalankan beberapa bulan yang lalu. Oleh yang demikian, fasa seterusnya merupakan 'Proof of Concept'.

Iklan

"Ia akan melibatkan sampel yang lebih ramai di mana pelanggan Rapid Penang digalakkan untuk mencuba dan menguji keupayaan serta fungsi aplikasi ini. Semua komen dan peluang penambahbaikan akan diambil kira sebelum sistem ini diguna pakai sepenuhnya," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Tambahnya, semua pengguna perkhidmatan Rapid Penang diminta untuk menjadi penguji sistem pembayaran terbuka justPay tersebut.

Iklan

"Penguji boleh mendaftar di laman web www.justpay.net.my atau muat turun aplikasi justPay dari Google Play Store atau App Store. Tarikh penyertaan adalah dari 18 Jun sehingga 17 Ogos ini.

"Aplikasi justPay telah dibangunkan melalui kolaborasi antara anak syarikat Prasarana, Prasarana Integrated (PRIDE) dan Community Marketplace Technology Sdn Bhd. Penumpang disarankan untuk melayari laman media sosial Rapid Penang untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai projek perintis ini," katanya.

Mengulas mengenai cara penggunaan aplikasi justPay, Muhammad Yazurin berkata, pengguna hanya perlu memuat turun aplikasi justPay dari Google Play Store atau Apple App Store.

"Pengguna perlu mendaftarkan nombor telefon yang sah dan memasukkan nombor OTP (One Time Password) yang dihantar melalui sistem pesanan ringkas (sms) sebagai pengesahan serta menetapkan kata laluan. Pengguna boleh menambah nilai melalui fungsi tambah nilai pada aplikasi melalui perbankan internet.

"Seterusnya, pengguna perlu memilih ikon TransitPay dan seterusnya kod QR akan dipaparkan. Pengguna perlu mengimbas kod QR ke peranti semasa menaiki dan turun dari bas bagi merekod lokasi hentian bas yang dinaiki.

"Pembayaran tambang akan dilakukan melalui imbasan kod QR ke peranti semasa turun dari bas dan bayaran tambang bas akan ditolak terus daripada dompet digital justPay," katanya.