KUANTAN - Seorang lelaki tergamak menganiaya ibunya apabila memberikan alamat dan nombor telefon milik wanita itu kepada ah long selepas membuat pinjaman wang.
Tindakan itu menyebabkan ibunya berusia 64 tahun, tertekan kerana sering menerima gangguan dan ugutan akibat hutang anaknya itu sehingga terpaksa menukarkan nombor telefon.
Menurutnya, anak bongsu daripada tiga beradik itu tidak pernah menghubunginya selepas membuat keputusan untuk bekerja di Singapur sejak tujuh tahun lalu.
"Sebelum ini, dia (anak) pernah berhutang dengan ah long sebanyak RM58,000 tapi saya tolang selesaikan bayaran itu. Masalah ini berpunca akibat tabiat dia yang suka berjudi.
"Tapi perkara sama berlaku lagi pada khamis lalu apabila sekumpulan lelaki dipercayai ah long muncul di hadapan rumah saya sebelum menampal risalah meminta supaya menjelaskan hutang anak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui di Pusat Khidmat Dun Teruntum selepas membuat aduan kepada ADUN Semambu Sim Chon Siang di sini, hari ini.
Warga emas itu berkata, tindakan sekumpulan lelaki itu bertambah agresif apabila mereka menggugut dan meminta segera melunaskan hutang anaknya.
"Saya pelik kerana mereka tidak beri tahu berapa jumlah hutang itu dan mereka juga dakwa akan simbah cat merah ke rumah saya, jika saya enggan membayarnya.
"Selepas itu, setiap hari along akan telefon saya. Hampir 20 kali setiap hari mereka telefon. Ini menyebabkan saya terpaksa menukar nombor telefon yang baru bagi mengelak diganggu," katanya.
Menurutnya yang juga suri rumah, laporan polis dibuat disebabkan terlalu takut perkara yang tidak diingini berlaku terhadapnya
"Dia membuat pinjaman ah long untuk berjudi, kemudian dia beritahu along supaya kutip semula duit mereka daripada saya. Dia turut serahkan segala butiran peribadi saya dan kakaknya kepada ah long.
"Saya sudah tidak tahan. Saya tidak mahu lagi ada apa-apa kaitan dengan dia, cukuplah saya bantu dia sebelum ini. Saya juga harap pihak berkuasa mengambil tindakan kepada ah long yang mengugut dan menakutkan keluarga saya.
"Jika berlaku lagi saya tidak teragak-agak untuk tampil membuat laporan polis lagi. Jangan ganggu dan cari saya, wang dipinjam anak saya, pergi cari dia, bukan saya,” katanya.
Sementara itu, Chon Siang berkata, pemberi pinjam wang seharusnya menuntut bayaran semula pinjaman daripada individu yang meminjam dan bukan daripada keluarga.
"Saya mahu Ah Long berhenti menakutkan mereka yang tiada kaitan dalam urusan peminjaman. Ini satu jenayah, jangan ingat mereka boleh sewenang-wenangnya melakukan peras ugut kerana laporan polis sudah dibuat," katanya.