Pertimbangan konsep diyat akan dibincang lebih mendalam: Idris

Iklan
Idris ketika berucap pada Multaqa Murabbi Ummah Peringkat Negeri Pahang hari ini. - Foto Bernama

KUANTAN - Pertimbangan menggunakan konsep diyat (pampasan kepada keluarga mangsa yang terkesan dengan tindakan penjenayah) sebagai hukuman gantian terhadap hukuman mati mandatori akan dibincangkan secara lebih mendalam, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad.

Beliau berkata, perkara itu termasuk jika ada keperluan untuk menubuhkan jawatankuasa khas, akan diuruskan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar yang difahamkan akan turut mendapatkan pandangan pihak berkaitan dalam isu berkenaan.

Iklan
Iklan

"Konsep diyat sudah berada dalam kitab fikah terutamanya yang melibatkan hukuman qisas (hukuman yang dikenakan hukuman balas)...seperti dikatakan ada seorang A yang membunuh B. Dia diberikan tiga pilihan iaitu pertama hukuman bunuh, kedua membayar diyat dan ketiga dimaafkan.

"Bagaimanapun, perkara ini masih lagi dalam proses dan akan diuruskan oleh bahagian undang-undang," katanya pada sidang media selepas menghadiri Program Multaqa Murabbi Ummah (MMU) Peringkat Negeri Pahang di sini hari ini.

Iklan

Turut hadir Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary dan Pengarah Jabatan Agama Islam Pahang, Datuk Dr Zulkifle Ali.

Semalam, Wan Junaidi menerusi sidang media khas memaklumkan konsep diyat antara pertimbangan sebagai hukuman gantian terhadap hukuman mati mandatori, namun perkara itu memerlukan sesi libat urus dengan pihak berkaitan seperti ilmuan syariah.

Iklan

Sementara itu, Idris berkata, kerajaan Persekutuan secara keseluruhannya menyalurkan peruntukan kewangan sebanyak RM60.44 juta kepada imam, bilal, siak, guru takmir dan guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) di Pahang pada tahun ini.

Beliau memaklumkan rancangan menyerap guru KAFA kepada jawatan tetap masih diteruskan dengan jawatankuasa dipengerusikan beliau sendiri telah bertemu dengan pihak berkaitan seperti Kementerian Kewangan dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) kerana ia melibatkan prosedur tertentu sebelum boleh dilaksanakan.

Ditanya mengenai drama atau animasi yang semakin mempunyai unsur kurang manis dan kebaratan kebelakangan ini, Idris manasihatkan penggiat seni untuk menggunakan kebolehan yang dianugerahkan kepada mereka dengan menghasilkan program yang tidak bertentangan agama dan nilai budaya masyarakat.

"Gunakan anugerah yang diberikan sebagai perkara bermanfaat kepada orang ramai dan mesej yang disampaikan boleh mendidik masyarakat.

"Saya hormat orang seni yang menggunakan anugerah ini untuk perkara yang membawa kebaikan yang boleh menjadi amal jariah," katanya. - Bernama