PDN, BSMM kerjasama tingkat bekalan darah negara

Iklan
Tunku Puteri Intan Safinaz menunjukkan MoU yang ditandatangani bersama Dr Afifah.

SHAH ALAM - Pusat Darah Negara (PDN) dan Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM) menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) sebagai usaha mempergiat pengumpulan simpanan darah untuk persiapan kecemasan dan bencana.

Memorandum tersebut ditandatangani oleh Pengerusi Kebangsaan BSMM, Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz Sultan Abdul Halim Mua'dzam Shah dan Pengarah PDN, Dr Afifah Hassan sempena Hari Penderma Darah Sedunia 2022.

Iklan
Iklan

"Memorandum ini ditandatangani bagi mewujudkan dan meningkatkan hubungan kerjasama antara BSMM dan PDN dalam pelaksanaan program serta aktiviti penganjuran kempen derma darah di seluruh negara secara rasmi,” kata Tunku Puteri Intan Safinaz dalam kenyataan pada Selasa.

Mengulas lanjut, Tunku Puteri Intan Safinaz berkata, kempen derma darah tersebut berlangsung selama sebulan iaitu bermula Ahad lalu sehingga 14 Julai 2022 di seluruh negara.

Iklan

Menurutnya, kempen tersebut menyasarkan untuk mengumpul sebanyak 5,105 beg darah yang sedang digerakkan oleh BSMM di 12 negeri.

Tunku Puteri Intan Safinaz ketika menyampaikan ucapan.

"BSMM merupakan organisasi aktif dalam kempen derma darah serta kerap menganjurkan aktiviti pengambilan penderma darah di seluruh negara yang digerakkan oleh cabang-cabang BSMM di setiap negeri.

Iklan

"Sungguhpun kerjasama antara BSMM dan PDN telah wujud sekian lama, majlis MoU ini signifikan bagi meningkatkan usaha serta memudahkan proses dalam aktiviti pengambilan penderma darah dan proses kempen derma darah yang digerakkan oleh BSMM di seluruh negara,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, BSMM menyasarkan lebih banyak penyertaan daripada penderma muda berumur antara 18 hingga 30 tahun kerana mereka lebih cergas dari segi kesihatan untuk menderma.

"Sejak lebih 48 tahun yang lalu, BSMM melalui program Khidmat Kesihatan Komuniti telah mempergiat usaha membudayakan menderma darah melalui kempen kesedaran serta program derma darah yang dijalankan di tempat awam," jelasnya.