Polis serbu rumah jadi tempat lombong bitcoin

Iklan
Antara mesin bitcoin yang dirampas dalam serbuan di sebuah rumah di Taman Putra Prima pada Isnin.

SEPANG - Bunyi bising yang selalu didengari penduduk di Taman Putra Prima di sini, terungkai apabila polis menemukan mesin perlombongan bitcoin di salah sebuah unit rumah di perumahan tersebut pada Isnin.

Ketua Polis Daerah (IPD) Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, serbuan dijalankan setelah polis menerima aduan daripada penduduk di taman perumahan berkenaan.

Iklan
Iklan

"Operasi dijalankan sepasukan anggota polis kira-kira jam 2.15 petang mendapati terdapat mesin disyaki mesin bitcoin berada dalam keadaan bersepah di ruang tamu dan bilik tidur rumah tersebut.

"Pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang turut sama dalam operasi telah mengesahkan berlaku khianat dan kecurian pada meter TNB," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Iklan

Beliau berkata, pihaknya telah merampas mesin bitcoin serta beberapa peralatan lain dipercayai digunakan dalam kegiatan perlombongan bitcoin.

"Antara dirampas melibatkan 36 unit mesin mining bitcoin, 18 unit 'power supply' dan pelbagai peralatan lain.

Iklan

"Hasil siasatan mendapati ejen rumah merupakan ejen yang sama dengan rampasan mesin bitcoin sebelum ini. Suspek yang merupakan seorang lelaki tempatan telah diberkas," katanya.

Menurutnya, semakan mendapati individu yang menyewa rumah berkenaan bukan individu yang sama dalam dokumen perjanjian sewa rumah.

"Semakan mendapati suspek telah mengaku bahawa individu yang menandatangani surat perjanjian tersebut bukan pemilik asal kad pengenalan yang dikemukakan.

"Siasatan lanjut berkaitan kes ini masih dijalankan. Kes disiasat di bawah Seksyen 427/379 Kanun Keseksaan," katanya.