PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob malam ini hadir memberikan sokongan kepada skuad Harimau Malaya yang menentang Bangladesh pada aksi terakhir Kumpulan E saingan Kelayakan Piala Asia 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil, di sini.
Beliau tiba di stadium kebanggaan rakyat Malaysia itu kira-kira 8.45 malam dan disambut Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu; Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin dan kepimpinan tertinggi badan induk itu.
Iklan
Iklan
Lebih kurang 50,000 penyokong setia pasukan negara membanjiri stadium yang berkapasiti lebih 80,000 penonton itu termasuk Ultras Malaya yang merancakkan suasana menerusi paluan gendang sambil bersorak dan menyanyi dengan penuh semangat.
Sebanyak 44,340 tiket terjual setakat 6 petang tadi. Pada aksi malam ini, Malaysia di ranking ke-154 dunia berpeluang mencipta sejarah layak secara merit ke Piala Asia selepas lebih empat dekad sekalipun mencatat keputusan seri berdepan Bangladesh (ke-188), namun kemenangan akan menyaksikan Malaysia melangkah ke kejohanan berprestij itu dengan bergaya.
Kali terakhir Malaysia membuat penampilan di Piala Asia adalah pada edisi 2007 ketika menjadi tuan rumah bersama, namun sudah 42 tahun pasukan negara gagal layak secara merit sejak edisi 1980 di Kuwait. Selepas dua perlawanan, skuad kendalian Kim Pan Gon kini berada di kedudukan kedua Kumpulan E berkongsi tiga mata dengan Turkmenistan di kedudukan ketiga selepas tewas 0-1 kepada Bahrain pada aksi terakhir petang tadi sekali gus menyaksikan Bahrain muncul juara kumpulan dengan sembilan mata.
Sementara, ‘pintu’ ke Piala Asia 2023 buat Bangladesh sudah tertutup selepas tewas dalam dua perlawanan terdahulu. - Bernama
Artikel Berkaitan