PASIR GUDANG - Penduduk setempat berharap insiden pencemaran kimia di daerah ini yang menggemparkan negara tidak berulang lagi.
Mahani Madon, 40, yang juga ibu kepada murid di Sekolah Kebangsaan (SK) Tanjung Puteri Resort berharap pihak berkuasa segera menjalankan pemeriksaan sekiranya mendapat aduan.
"Kalau boleh tak nak jadi lagi. Apabila ada aduan teruslah buat pemeriksaan.
"Sebelum kejadian ini kita dah biasa bau busuk di kawasan rumah tapi tak fikir sampai teruk macam ini," katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui pada program gotong-royong pasca pencemaran Sungai Kim Kim di SK Tanjung Puteri Resort, hari ini.
Menurut Mahani, dia dan anak-anak menyelamatkan diri ke Tangkak ketika kerja pembersihan dijalankan.
"Masa itu anak balik sekolah dah mual-mual, jadi saya mandikan terus dan bagi minum susu.
"Apabila dapat tahu kerja pembersihan akan bermula, saya terus bawa anak-anak ke kampung. Ini pun kami sekeluarga baru balik semula ke Pasir Gudang," katanya.
Sementara seorang lagi penduduk, Umi Kalshum Thajam, 46, berkata mereka sekeluarga berkurung di rumah sepanjang tempoh pencemaran.
"Kami tak keluar ke mana sebab anak dan suami kerja jadi saya dan anak yang sekolah cuma berkurung dalam rumah.
"Anak (Nurul Iman Qasrina Mohd Fauzi) balik sekolah masa itu mengadu gatal mata, sakit tekak dan mual. Esoknya makin teruk saya terus bawa ke klinik,"
katanya.
SK Tanjung Puteri Resort hari ini menganjurkan gotong royong pasca pencemaran Sungai Kim Kim sebelum sesi persekolahan bermula Ahad ini.