KUALA LUMPUR - Ancaman Covid-19 masih belum berakhir sepenuhnya, namun boleh dikatakan rakyat kini berasa sedikit lega selepas kerajaan menarik balik hampir keseluruhan sekatan yang dikenakan terhadap semua sektor dalam usaha mengekang musuh halimunan itu sebelum ini.
Ekonomi Malaysia yang hampir lumpuh akibat sekatan pergerakan selama dua tahun itu, kini bertatih untuk kembali mara, dan bagi sektor pelancongan yang merupakan aktiviti ekonomi paling teruk terjejas, April 2022 memberikan nafas baharu kepada sektor tersebut apabila sempadan negara dibuka semula.
Pembukaan semula sempadan negara sejak 1 April lalu yang merupakan antara persediaan ke fasa endemik, menyaksikan ketibaan pelawat asing ke negara ini dan peningkatan tempahan pakej pelancongan yang seharusnya dimanfaatkan sepenuhnya oleh pemain industri dan pihak berkepentingan.
Segmen pelancongan kesihatan khususnya, perlu mencari jalan terbaik bagi menampung kerugian yang ditanggung dua tahun lepas, kerana Covid-19 tiba di negara ini ketika permulaan Tahun Pelancongan Kesihatan Malaysia 2020 yang menyasarkan pendapatan berjumlah RM2 bilion dengan impak limpahan bernilai RM6 bilion.
PETANDA PULIH
Pensyarah di Fakulti Pengurusan Hotel dan Pelancongan, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Pulau Pinang, Profesor Madya Dr Azila Azmi berkata, segmen pelancongan kesihatan negara berpotensi melonjak dengan pantas pasca-Covid-19 berdasarkan arah terkini aliran pelancongan dunia.
Beliau berkata, ini kerana semua ramuan ke arah itu telahpun tersedia dan pengusaha hanya perlu mengambil beberapa pendekatan bagi memastikan mereka tidak terkeluar dari landasan yang dibina sebelum Covid-19.
"Kualiti industri pelancongan perubatan Malaysia telah diperakui di peringkat dunia. Buktinya, Majlis Pelancongan Kesihatan Malaysia (MHTC) pernah menerima beberapa pengiktirafan antarabangsa sejak 2011, antaranya ialah Asia Pacific Healthcare and Medical Tourism Awards pada 2017, 2018, 2019 dan 2021.
"Selain itu, MHTC juga berjaya meraih anugerah daripada International Medical Travel Journal pada Medical Travel Awards dari 2015 hingga 2020. Ini membuktikan kecekapan MHTC dalam memainkan peranannya sebagai agensi yang memajukan dan membantu menyelaras industri pelancongan kesihatan Malaysia,” katanya kepada Bernama.
Bukti keampuhan segmen pelancongan kesihatan Malaysia juga dapat dilihat menerusi ketibaan pelawat, yang mana bagi 2019 sahaja, kira-kira 1.3 juta pelancong kesihatan tiba di negara ini.
Daripada jumlah itu, 60 peratus adalah dari Indonesia, diikuti China, India dan negara lain di rantau Asia Tenggara.
Menurut Azila, antara faktor yang mendorong mereka memilih Malaysia ialah kualiti perkhidmatan yang ditawarkan dan disokong oleh harga mampu milik selain mudah diakses.
"Lokasi Malaysia dan kemudahan akses dari segi laluan penerbangan juga menjadi penyebab mereka cenderung datang ke negara ini.
"Kesemua ini membuktikan Malaysia sangat signifikan dalam dunia pelancongan kesihatan dan pembukaan semula sempadan negara sangat-sangat dialukan untuk kita kembali ke pelan asal," katanya.
PERTINGKAT JAMINAN KESELAMATAN
Beliau yang percaya sektor pelancongan kesihatan Malaysia akan dapat kembali ke era kegemilangan pra-Covid secara bertahap berkata, antara pendekatan yang perlu diambil oleh pihak berkepentingan ialah menyusun semula kerjasama sesama mereka berpaksikan jaminan keselamatan.
"Pemain industri perlu lebih peka tentang isu keselamatan berikutan dapatan Majlis Pengembaraan dan Pelancongan Dunia (WTTC) membuktikan permintaan dan keutamaan pelancong telah berubah semasa pandemik.
"Pelancong sekarang lebih cenderung memilih tempat pelancongan yang selesa, selamat dan dipercayai, (iaitu) dengan maksud lain, pelancong yang datang akan lebih menitikberatkan aspek keselamatan dan perlindungan,” katanya.
Justeru, kata beliau, jaminan keselamatan harus berada di peringkat tertinggi.
"Pelawat mahu mengubati sakit mereka dengan rasa tenang, tanpa khuatir akan dijangkiti Covid-19 sepanjang berada di Malaysia.
"Keutamaan ini wajar berada di Iapisan teratas mengikut kasta kepentingan semasa memandangkan virus ini masih wujud dan kadar kebolehjangkitan serta tahap keseriusan yang akan diterima oleh setiap individu adalah berlainan," jelasnya.
Selain itu kata Azila, pelancong juga semakin cenderung menggunakan transaksi tanpa sentuhan sebagai sebahagian daripada pengalaman perjalanan yang selamat dan lancar.
"Ini seiring dengan aspirasi kerajaan yang memperkenalkan bandar pelancongan pintar di beberapa negeri,” tambah beliau.
Beliau turut mengesyorkan agar pemain industri terus mempergiat pendekatan secara maya di samping perkhidmatan secara bersemuka.
Pendekatan"menjaga” pesakit dari luar menggunakan kemudahan digital seperti e-farmasi dan khidmat dalam talian terbukti efektif dari segi penjimatan masa dan tenaga serta mampu melonjakkan minat pelawat perubatan untuk hadir secara fizikal selepas menerima rundingan dalam talian, katanya.
"Syaratnya, pendekatan secara maya ini mestilah mesra pelanggan, tidak menyukarkan pelanggan dengan kerenah birokrasi yang berlebihan dan menjimatkan masa," ujar beliau.
Pada masa sama, Azila berkata Malaysia juga harus mempergiat promosi industri pelancongan kesihatan melalui dalam talian, meningkatkan kecekapan proses permohonan dan saringan pesakit antarabangsa serta mengeratkan hubungan dengan pihak berkepentingan supaya industri itu akan segera bangkit.
Berhubung kemasukan pelancong ke negara ini, beliau berkata, Malaysia menjangkakan jumlah pelancong meningkat seiring dengan keadaan semasa.
"Biarpun pada 2020 di kala dunia dilanda pandemik, Malaysia masih mampu merekodkan kedatangan pelancong sekitar 4.33 juta orang. Angka yang rendah namun munasabah,” katanya.
TAMBAH NILAI PAKEJ RAWATAN
Malaysia sememangnya terkenal dengan perkhidmatan rawatan dalam bidang persenyawaan in-vitro (IVF), kardiologi, onkologi, ortopedik, neurologi dan saringan kesihatan umum.
Selain itu, Malaysia turut popular dengan perkhidmatan rawatan estetik dan kosmetik seperti pembedahan kosmetik, rawatan pergigian antaranya pemasangan mahkota gigi dan pemutihan gigi serta rawatan laser mata (lasik) dan penyingkiran ketuat serta tahi lalat.
Tambah Azila, klinik estetik di Malaysia juga semakin banyak ibarat cendawan tumbuh selepas hujan. Katanya biarpun negara jiran seperti Thailand lebih terkenal dalam aspek perawatan estetik, status Malaysia sebagai negara Islam membuatkan pelancong kesihatan (Muslim terutamanya) lebih yakin dengan prestij Malaysia.
Justeru, kata pemerhati pelancongan itu, pakej perkhidmatan sedia ada harus ditambah nilai mengikut peredaran semasa dengan mengambil kira cita rasa pelancong perubatan.
"Pakej perkhidmatan kesihatan yang sedia ada boleh ditambah nilai dengan perkhidmatan rawatan atau urutan tradisional Melayu di pusat-pusat spa atau refleksologi.
"Dengan adanya rawatan sedemikian pelawat perubatan dapat merehatkan diri dan minda mereka dengan menjadikan pakej sebegini sebagai antara ganjaran untuk diri sendiri selepas tamat sesi perubatan rasmi mereka,” katanya, menambah kepelbagaian pakej rawatan kesihatan dan kecantikan juga dapat membantu usahawan"wellness tourism” yang terkesan teruk ketika pandemik kembali bernafas.
TAMBAH BAIK KERJASAMA
Bekas Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Muhammad Bakhtiar Wan Chik juga senada dalam keyakinan terhadap pemulihan subsektor pelancongan perubatan di negara ini.
Malaysia katanya, mempunyai kepakaran selain kemudahan kesihatan yang mudah diakses serta berdaya saing.
Namun menurut beliau, pengusaha pelancongan kesihatan memerlukan sokongan daripada pihak lain khususnya pemain industri pengangkutan bagi memastikan kelancaran perjalanan pelawat ke negara ini.
"Kemasukan pelancong termasuk pelancong kesihatan bergantung pada beberapa faktor, iaitu pertamanya ketersediaan penerbangan (kapasiti tempat duduk). Dalam hal ini pihak penerbangan perlu bekerjasama dengan menambah bilangan penerbangan untuk destinasi sumber seperti Medan dan Jakarta.
"Selain itu pihak industri terbabit juga harus membuat jelajah bersama pemain-pemain industri di beberapa lokasi terpilih," katanya.
Beliau juga melihat kemudahan visa semasa ketibaan dapat menggalakkan ketibaan pelancong, terutama dari India dan China.
Tegasnya, Malaysia harus memanfaatkan sepenuhnya trend semasa pelancongan kesihatan memandangkan setiap pelawat perubatan berpotensi berbelanja tiga kali ganda berbanding pelancong biasa termasuk peserta mesyuarat, persidangan dan pameran (MICE). - Bernama