SHAH ALAM - Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menzahirkan perutusan takziah kepada waris dan keluarga Tokoh Pendidikan Negara, Tun Dr Arshad Ayub.
Baginda menerusi satu hantaran di Facebook Selangor Royal Office bertitah mengagumi usaha-usaha Allahyarham yang mempunyai visi dan pandangan jauh dalam merancang sesuatu perkara.
Titahnya, Allahyarham juga berpendirian bahawa sesuatu kejayaan cemerlang boleh dicapai dengan usaha bersungguh-sungguh dan komitmen berterusan.
"Allahyarham pernah memegang beberapa jawatan penting dalam kerajaan dan merupakan perintis kepada pembangunan Institut Teknologi MARA yang kini dikenali sebagai Universiti Teknologi MARA (UiTM).
"Penubuhan UiTM yang diasaskan oleh Allahyarham adalah bertujuan untuk memberi peluang kepada pelajar-pelajar yang kurang bernasib baik terutama dari luar bandar melalui program-program yang diadakan di UiTM.
"Visi dan perancangan Allahyarham ini menghasilkan ramai para professional dan ilmuan yang diiktiraf oleh antarabangsa," titahnya pada Rabu.
Dalam pada itu, Sultan Sharafuddin bertitah, Allahyarham juga mencurahkan sebahagian besar tenaga dan usianya kepada pembangunan UiTM.
Baginda bertitah, Allahyarham dikurniakan Darjah Kebesaran Kelas Pertama, Seri Paduka Mahkota Selangor (SPMS) yang membawa gelaran Datuk Seri bagi menghargai usaha-usaha beliau dalam membangunkan UiTM yang kampus induknya terletak di Selangor.
Dalam titah sama, baginda bersama Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin mendoakan balu Allahyarham, Toh Puan Zaleha Mohd Arshad dan waris keluarga tabah menerima ketentuan ALLAH.
"Sesungguhnya negara kehilangan seorang Tokoh Pelopor Inovasi Pendidikan dan Pentadbiran yang sukar dicari ganti.
"Semoga roh Allahyarham ditempatkan di kalangan orang-orang beriman," titahnya.
Menerusi laporan media, Arshad, 93, disahkan meninggal dunia pada jam 2.06 pagi Selasa.
Berita kematian Allahyarham dimaklumkan oleh keluarganya menerusi kenyataan yang dikeluarkan pada Selasa.