BENTONG - [DIKEMAS KINI] Kerajaan Negeri Pahang menggunakan peruntukan yang diterima daripada kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) serta sumbangan Kedutaan Emiriah Arab Bersatu (UAE) bagi membina baharu dan membaik pulih rumah-rumah yang mengalami kerosakan akibat banjir di negeri ini penghujung tahun lalu.
Kerja-kerja membina baharu dan membaik pulih rumah melibatkan peruntukan keseluruhan lebih RM44 juta itu turut menggunakan peruntukkan kerajaan negeri sendiri.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, melalui peruntukan itu, 148 rumah akan dibina baharu dengan harga RM75,000 setiap buah (tidak bertiang) dan RM100,000 (bertiang).
Menurutnya, sebanyak 3,948 rumah akan dibaik pulih dengan anggaran kos sehingga RM15,000 sebuah.
"Kerja-kerja verifikasi dan pembaikan kerosakan rumah-rumah mangsa banjir ini telah bermula Januari lalu dan sebahagiannya masih lagi berjalan.
"Dijangka kerja-kerja pembaikan kesemua rumah tersebut akan selesai selewat-lewatnya Ogos ini," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Wan Rosdy berkata, kerja-kerja bina baharu 148 rumah itu pula akan bermula Jun dan dijangka siap sepenuhnya selewat-lewatnya pertengahan September depan.
"Pelbagai agensi terlibat dalam pelaksanaan kerja-kerja bina baharu dan baik pulih rumah-rumah itu termasuk Pejabat Daerah dan Tanah, Jabatan Kerja Raya (JKR), Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB), PR1MA Malaysia, Felcra Bina dan Giat Mara.
"Kerajaan negeri telah melantik 90 kontraktor dari negeri ini bagi melaksanakan kerja-kerja tersebut manakala 13 kontraktor lagi akan dilantik dalam masa terdekat," katanya.
Beliau berkata, penyerahan surat lantikan kepada kontraktor-kontraktor dari Bentong dan Raub dibuat pada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pahang di Bentong.
"Kerajaan negeri akan terus memantau pelaksanaan itu sehingga kerja-kerja pembinaan dan baik pulih rumah tersebut disiapkan dengan sempurna.
"Melalui bantuan ini, saya berharap mangsa-mangsa banjir yang terlibat dapat menikmati hidup dengan lebih selesa," katanya.
Beliau berkata, kerajaan negeri sentiasa prihatin kebajikan rakyat dan akan menyalurkan segala bentuk bantuan yang sewajarnya bagi membela nasib mereka yang memerlukan.